Skip to main content

Malaysia

Kes tikam rakan sekolah: Bapa dakwa anak alami 14 hingga 16 kesan tikaman

[TB]_ Bapa Tikam_Astro Awani
Mohd Firuz berkata beliau menerima panggilan daripada guru kelas anaknya kira-kira 9.30 pagi ketika sedang bekerja sebagai penghantar barang yang memaklumkan mengenai kejadian itu. - foto Astro AWANI

BANTING: Bapa kepada pelajar perempuan berusia 15 tahun yang menjadi mangsa tikaman dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini hari ini mendakwa anaknya mengalami kira-kira 14 hingga 16 kesan tikaman, selain kecederaan pada muka, bibir dan telinga.

Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata beliau menerima panggilan daripada guru kelas anaknya kira-kira 9.30 pagi ketika sedang bekerja sebagai penghantar barang yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Kira-kira 14 tikaman dikesan di bahagian belakang badan anak saya. Saya dapat panggilan ketika saya sedang bekerja dan cikgu memaklumkan anak saya ditikam. Saya dalam keadaan terkejut terus bergegas ke sini.

"Bila sampai hospital, anak saya berada dalam keadaan serius sebelum dia dibawa menjalani imbasan bagi mengenal pasti tahap serius kecederaannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Banting, hari ini.

Menurutnya, anak keduanya daripada tiga beradik itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih boleh bercakap.

Beliau berkata berdasarkan maklumat doktor, paru-paru kiri mangsa terkena tikaman dan remaja itu akan menjalani prosedur mengeluarkan darah daripada paru-paru berkenaan.

"Saya lihat dia dipercayai terkena antara 14 hingga 16 tikaman di bahagian belakang badan selain mengalami kecederaan pada muka, bibir dan telinga," katanya.

Mengulas mengenai suspek, Mohd Firuz berkata anaknya mengenali pelajar terbabit kerana mereka pernah berada dalam kelas yang sama tahun lalu.

"Saya difahamkan mereka satu kelas sebelum ini namun apa status pelajar terbabit saya tidak dapat pastikan selain motif serangan pun saya tidak tahu.

"Saya rasa bukan anak saya yang menjadi sasaran. Mungkin dia hendak sasarkan orang lain tetapi anak saya yang paling dekat ketika itu dan berbadan besar sedikit, mungkin sebab itu dia tidak sempat melarikan diri," katanya.

Beliau berkata anaknya tidak pernah mengadu diganggu oleh suspek sebelum ini dan difahamkan suspek masih merupakan pelajar sekolah berkenaan.

Sehubungan itu, Mohd Firuz berharap aspek keselamatan di sekolah dapat dipertingkatkan termasuk memperketat kawalan kemasukan ke kawasan sekolah.

Media melaporkan pada Isnin, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting pagi tadi.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan bahu serta kini menerima rawatan di Hospital Banting.

 

Must Watch Video

Advertisement