Skip to main content

Malaysia

Kerajaan kaji pindaan Seksyen 97 Akta 611, seimbang hak mangsa dengan pemulihan pesalah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran  di Dewan Rakyat
M. Kulasegaran (foto) berkata penelitian itu dilakukan menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat pada 2023. -Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pindaan terhadap Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] termasuk penetapan tempoh tahanan yang lebih jelas bagi memastikan keseimbangan antara keadilan kepada mangsa, keselamatan awam dan peluang pemulihan pesalah kanak-kanak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata penelitian itu dilakukan menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan susulan pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat pada 2023.

“ … jadi, kita perlu seragamkan bukan saja undang-undang, tetapi juga keadilan untuk semua. Saya percaya dengan penubuhan jawatankuasa tersebut yang telah bermesyuarat beberapa kali … satu keputusan akan dihasilkan supaya kita boleh mengatasi (isu ini) dengan meminda Seksyen 97 dan mengehadkan tempoh masa (tahanan),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PH-Jerlun) tentang cabaran utama kerajaan dalam melaksanakan Seksyen 97 Akta 611 bagi memastikan keseimbangan antara keadilan kepada mangsa dengan peluang pemulihan pesalah kanak-kanak, selain komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata antara faktor yang mendorong penelitian terhadap seksyen itu ialah situasi individu yang ditahan ketika masih kanak-kanak tanpa tempoh tahanan yang jelas.

“Kita temu bual beberapa orang yang ditahan di penjara … baru-baru ini, saya di Semporna (dan) di Sandakan (Sabah), saya berjumpa dengan seorang yang telah ditahan dekat 25 tahun, semasa masuk penjara dia hanya 17 tahun.

“Dia tidak tahu apa itu telefon pintar, dia tidak tahu apa (yang berlaku) di luar," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal S. Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung bilangan pesalah yang masih ditahan di bawah Seksyen 97 Akta 611 dan tempoh tahanan mereka, Kulasegaran berkata setakat ini, terdapat 40 individu yang masih ditahan di bawah seksyen berkenaan.

Beliau berkata seksyen itu memperuntukkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak ketika kesalahan dilakukan, sebaliknya mahkamah hendaklah memerintahkan supaya individu itu ditahan di penjara selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri mengikut tempat kesalahan dilakukan.

“Kerajaan MADANI komited untuk memastikan sebarang cadangan pindaan yang dikemukakan kelak dapat mewujudkan keseimbangan antara kepentingan keadilan, keselamatan awam dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan kewajipan dan hak asasi manusia yang telah diterima pakai oleh Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement