KUALA LUMPUR: Semua pembangunan baharu masjid dan surau di negara ini perlu menyediakan kemudahan serta prasarana mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas bagi memastikan institusi ibadat lebih inklusif dan mudah diakses.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata ketetapan itu selaras dengan kerangka perundangan sedia ada termasuk Akta Orang Kurang Upaya 2008; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 serta garis panduan reka bentuk sejagat.
Beliau berkata sehingga kini majoriti masjid dan surau berdaftar di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menyediakan kemudahan asas mesra warga emas dan OKU.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan kini memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf kemudahan itu melalui mekanisme pembiayaan sedia ada termasuk peruntukan penyelenggaraan, dana masjid, sumbangan serta bantuan yang diselaraskan oleh pihak berkuasa agama negeri mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Sebahagian masjid dan surau turut memenuhi keseluruhan kemudahan khas yang disenaraikan termasuk tempat letak kenderaan, tempat wuduk, bilik air, laluan dan kerusi solat, al-Quran Braille serta kerusi roda dan mesin Automated External Defibrillator (AED).
“Namun, kerajaan akan terus mempertingkatkan penyediaan kemudahan ini secara berperingkat selaras dengan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Marhamah berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai cadangan kerajaan memperkenalkan Dana Mesra Warga Emas bagi membantu masjid dan surau menyediakan kemudahan seperti laluan kerusi roda, tandas mesra OKU dan ruang rawatan asas untuk jemaah warga emas.
Selain itu, Marhamah berkata kerajaan telah memperkenalkan Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) menerusi kerjasama strategik kerajaan Persekutuan dan negeri sebagai instrumen mendorong pihak pengurusan mempertingkatkan prasarana yang inklusif secara berkala.
“Antara komponen yang dinilai ialah penyediaan kemudahan mesra warga emas dan OKU sekali gus mendorong pihak pengurusan masjid mempertingkatkan penyediaan kemudahan yang inklusif, selamat dan mudah diakses oleh semua jemaah dari semasa ke semasa,” katanya.
Langkah itu, menurut beliau turut diperkukuh melalui Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU Muslim 2024 hingga 2028 yang memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti warga masjid serta penglibatan komuniti OKU sebagai rakan strategik.
Menjawab soalan tambahan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai cadangan mewajibkan pemasangan AED, Marhamah berkata ia belum diwajibkan buat masa ini, namun kerajaan mengambil perhatian serius terhadap cadangan tersebut untuk tindakan lanjut bersama-sama agensi berkaitan.
-- BERNAMA