SYARIKAT aeroangkasa terkemuka, SpaceX, mengumumkan penjenamaan semula kepada SpaceXAI berkuat kuasa hari ini, lapor Amanz.
Langkah itu selari dengan status baharu syarikat berkenaan yang kini bukan sahaja menawarkan perkhidmatan pelancaran roket ke angkasa lepas, malah komited membina pusat data di orbit dan di bumi serta membangunkan model kecerdasan buatan (AI).
Perkara itu disahkan menerusi perkongsian animasi logo baharu syarikat berkenaan yang memaparkan pertukaran nama daripada SpaceX kepada SpaceXAI melalui platform media sosial X pagi tadi.
We are now @SpaceXAI. pic.twitter.com/ema66xDWC9
— SpaceXAI (@SpaceXAI) July 6, 2026
Sebelum ini, SpaceX mengambil alih firma kecerdasan buatan xAI pada Februari lalu sebelum disenaraikan di pasaran saham bulan lepas dengan janaan hampir AS$75 bilion (kira-kira RM306 bilion), sekali gus mencatat pengumpulan dana terbesar dalam sejarah dunia korporat.
Penyenaraian itu turut menyaksikan pengasasnya, Elon Musk, mencatat sejarah peribadi sebagai individu pertama di dunia yang mencapai status jutawan trilion.
Bagaimanapun, SpaceXAI berkata ia akan mengekalkan perancangan asal untuk menghantar manusia mengelilingi bulan, membina penempatan kekal di satelit semula jadi bumi itu dan seterusnya mewujudkan koloni manusia di Marikh pada masa hadapan.
Mengulas mengenai sasaran projek itu, Musk berkata tumpuan syarikat kini dialihkan sepenuhnya untuk mendaratkan manusia di bulan menjelang 2027, sekali gus meminda kenyataannya sedekad lalu yang menyasarkan misi berkenaan dilaksanakan pada akhir tahun ini.