JOHOR BAHRU: Polis Johor masih meneruskan siasatan terhadap bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi berhubung laporan polis yang dibuat susulan kenyataannya berkaitan campur tangan Istana dalam urusan politik negeri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan kes berkenaan masih berjalan dan pelbagai aspek sedang diteliti bagi melengkapkan kertas siasatan.
"Masih dalam siasatan. Kita setakat ini masih dalam siasatan perkara ini. Saya pun tak boleh nak ulas sebab banyak perkara yang masih lagi kita teliti untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRN Johor, pada Selasa.
Ketika ditanya sama ada siasatan masih dikendalikan Polis Johor, beliau mengesahkannya.
Kes itu susulan kenyataan Puad yang mengumumkan keluar UMNO pada 25 Jun lalu dan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan serta dikawal oleh Istana, termasuk dalam isu pembubaran DUN Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Polis sebelum ini mengesahkan menerima sekurang-kurangnya 153 laporan polis dari seluruh negara berhubung kenyataan tersebut, termasuk laporan yang dibuat oleh bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam perkembangan berasingan, Ab Rahaman berkata, proses pengundian awal di 53 pusat pengundian awal seluruh Johor berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan kelancaran proses tersebut.
Beliau turut memaklumkan, majoriti kes pilihan raya yang disiasat setakat ini membabitkan perbuatan khianat terhadap bahan kempen seperti bendera, papan iklan dan peralatan berkaitan parti politik.