KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Ops Soga XI di seluruh negara bagi membanteras kegiatan perjudian haram yang dijangka meningkat sempena Piala Dunia FIFA 2026 berlangsung esok hingga 19 Julai ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata operasi bersepadu itu melibatkan semua kontinjen negeri.
“Operasi ini memberi fokus kepada pemantauan serta tindakan ke atas sindiket perjudian dan pertaruhan secara dalam talian, selain platform atau laman sesawang yang menjalankan aktiviti perjudian dan pertaruhan dalam talian serta promosi melalui akaun media sosial.
"Operasi ini turut memberi tumpuan terhadap aktiviti perjudian dan pertaruhan secara fizikal melibatkan premis perjudian dan pertaruhan haram, individu yang bertaruh, ejen pertaruhan dan premis atau individu yang mempromosikan perjudian dan pertaruhan secara fizikal," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata operasi itu turut disertai pelbagai agensi penguat kuasa dan kawal selia antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Bank Negara bagi mengenal pasti dan menyekat platform, laman sesawang serta transaksi yang digunakan oleh sindiket perjudian dan pertaruhan haram.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk perjudian dan pertaruhan haram sama ada sebagai pemain, bertaruh, ejen, pengutip pertaruhan atau penganjur.
"Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan termasuk Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953, Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya.
-- BERNAMA