Skip to main content

Malaysia

PH gesa laporan RCI Tabung Haji didedah kepada umum

Pakatan Harapan
Menurut PH, pendedahan laporan itu juga penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi berkaitan terus diperkukuh melalui amalan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan mempertimbangkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) kepada umum demi kepentingan rakyat.

Dalam kenyataan bersama, Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan dan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan Saifuddin Shafi Muhammad, berkata isu tersebut perlu dibincangkan oleh Kabinet dengan mengambil kira prinsip ketelusan dan akauntabiliti serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan memaklumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk mendedahkan laporan RCI Tabung Haji yang telah selesai kepada umum.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menggesa laporan berkenaan didedahkan, manakala Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara tersebut perlu diputuskan oleh Jemaah Menteri.

PH berpandangan rakyat berhak mengetahui fakta sebenar berkaitan isu berkenaan supaya segala persoalan yang timbul dapat dijelaskan berdasarkan laporan rasmi.

Menurut PH, pendedahan laporan itu juga penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi berkaitan terus diperkukuh melalui amalan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

Must Watch Video

Advertisement