Skip to main content

Malaysia

PGA tahan lelaki, rampas 700kg durian disyaki dibawa tanpa dokumen sah

KUALA LUMPUR, 29 Jun -- Antara durian yang di jual ketika tinjauan fotoBernama di sekitar pusat bandar hari ini.  Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan pengusaha durian tempatan khususnya golongan bumiputera perlu memulakan penanaman buah durian dalam skala besar bagi membolehkan dipasarkan ke China antara lima hingga enam tahun lagi.  Usaha itu perlu dimulakan dari sekarang susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malay
- Gambar hiasan/BERNAMA

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas 700 kilogram (kg) durian bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai keseluruhan RM53,500 dalam Ops Taring Wawasan Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas, Khamis lepas.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki tempatan berusia 22 tahun itu ditahan di Pengkalan Haram Abe Li Posmen pada 7.15 malam selepas anggota Strike Force Kompeni B, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang menjalankan rondaan mengesan sebuah Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 700 kg durian di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan ruang muatan kenderaan berkenaan.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan buah durian dibawa. Suspek kemudian ditahan manakala kenderaan bersama muatan durian dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Radzi berkata berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa hanya ditugaskan oleh majikannya untuk mengambil durian di lokasi berkenaan sebelum menghantarnya ke sebuah premis jualan di Pasir Puteh.

"Suspek turut memaklumkan dia bekerja secara sambilan dengan menerima upah harian antara RM60 hingga RM70 bergantung kepada hasil jualan.

"Rampasan membabitkan sebuah Mitsubishi Triton dianggarkan bernilai RM50,000 dan 700 kg durian bernilai RM3,500," katanya.

Ahmad Radzi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement