Skip to main content

Malaysia

Pengakap Kedah cipta sejarah lancar projek ternakan lembu hibrid pertama

TB_PENGAKAP MALAYSIA_MAJLIS PENGAKAP KEDAH
Ahmad Sabri (kanan) ketika hadir mewakili Ketua Pengakap Negara, Mej Jen Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin, pada Majlis Pelancaran Pengakap Berasaskan Komuniti dan Program Menjana Pendapatan Melalui Ternakan Lembu Hibrid Pengakap Negeri Kedah di Pusat Khidmat Komuniti Jeniang, hari ini.

ALOR SETAR: Majlis Pengakap Negeri Kedah mencipta sejarah apabila melancarkan inisiatif ternakan lembu hibrid pertama dalam pergerakan itu, sekali gus mengukuhkan usaha memperluaskan program Pengakap Berasaskan Komuniti.

Inisiatif tersebut dilihat sebagai pendekatan strategik dalam membangunkan model ekonomi komuniti yang mampan dan berdikari, selain menonjolkan potensi pergerakan Pengakap dalam sektor ekonomi serta rantaian bekalan makanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), Ahmad Sabri Saad berkata projek itu perlu diurus secara profesional, berintegriti dan berteraskan teknologi moden bagi memastikan kejayaannya.

“Buktikan bahawa Pengakap tidak hanya tahu berkhemah, tetapi mampu menguasai ekonomi dan rantaian bekalan makanan moden.

“Kita mahu melahirkan ahli Pengakap yang bukan sahaja mahir mengikat tali, tetapi juga bijak mengikat peluang ekonomi; bukan sahaja cekap membaca kompas, tetapi juga jelas membaca hala tuju masa depan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengakap Berasaskan Komuniti dan Program Menjana Pendapatan Melalui Ternakan Lembu Hibrid Pengakap Negeri Kedah di Pusat Khidmat Komuniti Jeniang, di sini, hari ini.

Ahmad Sabri hadir mewakili Ketua Pengakap Negara, Mej Jen Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin.

Mengulas lanjut, Ahmad Sabri berkata konsep Pengakap Berasaskan Komuniti kini diberi penekanan di rantau Asia-Pasifik dalam usaha membangunkan belia di luar sistem pendidikan formal menerusi pendekatan pendidikan tidak formal dan kesukarelawanan.

Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi mendekati belia di kawasan luar bandar agar tidak terjebak dalam gejala sosial.

“Pergerakan Pengakap di rantau Asia-Pasifik kini turut diiktiraf di peringkat global atas usaha berterusan dalam mempromosikan nilai kepelbagaian, keterangkuman serta pelaksanaan program berimpak tinggi berasaskan alam sekitar seperti Scouts Go Solar,” katanya lagi.

 

Must Watch Video

Advertisement