BUKIT MERTAJAM: Sistem pendidikan negara perlu melahirkan generasi yang menguasai ilmu dan teknologi baharu namun pada masa sama kekal berpegang teguh kepada nilai, etika serta akhlak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata penguasaan bidang seperti pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum penting bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendepani perubahan dunia.
Bagaimanapun, kata beliau, kemajuan itu perlu diseimbangkan dengan kefahaman terhadap budaya, sejarah, agama dan nilai kemanusiaan.
“Fahami budaya anda, sejarah anda, agama anda dan yang paling penting nilai, etika dan akhlak.
“Maknanya, kita menggapai di langit tetapi kekal mantap dan kuat mengakar ke bumi,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin dan Pelancaran Program Nuqaba, di sini, hari ini.
Anwar berkata pembukaan sekolah yang mengambil nama tokoh pembaharu Islam, Sheikh Tahir Jalaluddin itu bukan sekadar mengenang sejarah, sebaliknya perlu menyemarakkan semangat keilmuan, kesedaran dan pembaharuan yang diperjuangkan tokoh berkenaan.
Beliau berkata Sheikh Tahir merupakan antara tokoh yang menekankan kepentingan ilmu dan kefahaman Islam yang relevan dalam mendepani cabaran zaman, selain berusaha membebaskan pemikiran serta jiwa masyarakat daripada pengaruh penjajahan.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa isu buli tidak seharusnya berlaku di mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah agama kerana perbuatan itu bercanggah dengan matlamat pendidikan dan pembentukan akhlak.
Beliau berkata tindakan menyembunyikan kes buli bagi menjaga imej sekolah hanya akan menyebabkan mangsa terus tidak mendapat pembelaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan guru dan pelajar supaya bersama-sama memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, selain menjadi contoh menerusi keperibadian dan amalan yang baik.
-- BERNAMA