Skip to main content

Malaysia

Pemindahan gajah: Tiada bukti salah laku Nik Nazmi dengan dakwaan rasuah RM53 juta - SPRM

Putrajaya , 9 Julai 2026.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia , Datuk Seri Abd Halim Aman pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Aras 3, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya .Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Abdul Halim berkata siasatan yang kini hampir selesai itu tidak menemui aliran wang atau pembayaran kepada Nik Nazmi mahupun syarikat yang dikaitkan dengannya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini tidak menemukan sebarang bukti yang mengaitkan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, dengan dakwaan rasuah berjumlah RM53 juta atau salah guna kuasa dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping ke Zoo Teenoji, Osaka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata siasatan yang kini hampir selesai itu tidak menemui aliran wang atau pembayaran kepada beliau mahupun syarikat yang dikaitkan dengannya.

"Setakat ini amat sukar untuk mengaitkan dakwaan rasuah RM53 juta itu dengan bekas menteri. Tiada wujud aliran wang tunai atau pembayaran kepada beliau atau syarikat," katanya pada sidang media pada Khamis.

Beliau berkata semakan terhadap laporan transaksi tunai (CTR) dan laporan transaksi mencurigakan (STR) syarikat Malaysia yang terlibat dalam urusan pemindahan itu juga tidak menemukan sebarang transaksi mencurigakan.

Bagaimanapun, Abdul Halim berkata semakan CTR dan STR terhadap empat suspek yang dikenal pasti dalam siasatan mendapati terdapat beberapa transaksi yang memerlukan penelitian dan siasatan lanjut.

Beliau memaklumkan empat suspek terbabit terdiri daripada seorang bekas penjawat awam, seorang penjawat awam serta dua pemilik syarikat.

Seramai 19 saksi telah dipanggil dan dirakam keterangan.

Abdul Halim berkata siasatan mendapati kos pemindahan tiga ekor gajah itu ditanggung sepenuhnya oleh Zoo Tennoji yang membayar kira-kira AS$1.48 juta (RM6.3 juta), bukannya kerajaan Malaysia.

Beliau turut menjelaskan penempatan sementara gajah-gajah tersebut di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah merupakan prosedur biasa bagi melatih haiwan berkenaan menyesuaikan diri dengan kurungan sebelum diterbangkan ke Jepun.

Mengenai tempoh perjanjian peminjaman selama 25 tahun, beliau berkata SPRM mendapati tempoh itu munasabah dengan mengambil kira tempoh bunting gajah serta anggaran maksimum enam kelahiran sepanjang tempoh berkenaan.

"Siasatan telah hampir sampai ke penghujung dan pegawai penyiasat diberikan tempoh kira-kira sebulan lagi untuk melengkapkan siasatan," katanya sambil menambah tiada keperluan untuk membekukan mana-mana akaun setakat ini.

Must Watch Video

Advertisement