Skip to main content

Malaysia

Pembatalan NSM: 'Perlu tindakan diplomatik tegas terhadap Norway, kita negara bermaruah' - Ahmad Zahid

MERSING, 9 Julai -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media semasa Majlis Ramah Mesra bersama rakyat di Restoran Nusantara, Endau hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media semasa Majlis Ramah Mesra bersama rakyat di Restoran Nusantara, Endau hari ini. - Foto Bernama

MERSING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa tindakan diplomatik lebih tegas dikenakan terhadap Norway susulan tindakan sebuah syarikat negara itu menghentikan pembekalan peralatan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau berkata, langkah itu tidak seharusnya terhad kepada tindakan undang-undang atau nota bantahan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan diplomatik jangka panjang.

“Bukan hanya tindakan undang-undang tapi dari segi hubungan diplomatik, Kementerian Luar mesti melakukan sesuatu, bukan sekadar hantar nota bantahan, tindakan jangka panjang juga mesti dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas membantu kempen calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib dan DUN Tenggaroh, Mohd Youzaimi Yusof, di sini, pada Khamis.

Menurut Ahmad Zahid, tindakan menghentikan pembekalan itu disifatkan tidak beretika memandangkan perolehan berkenaan dibuat melalui tender terbuka bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara, bukannya bertujuan menyerang mana-mana pihak.

Beliau berkata, kelewatan pembekalan itu turut memberi kesan kepada penyerahan aset berkenaan kepada TLDM.

“Kita bukan mahu menyerang mana-mana negara sebab sistem pertahanan kita adalah sistem pertahanan untuk mempertahankan diri… bukan hanya pampasan dibayar, tetapi dengan kelewatan penghantaran, berlaku juga kelewatan dari segi penyerahan kapal itu kepada pihak TLDM,” katanya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi rakan sejawatnya di Norway berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Malaysia perlu mengambil tindakan lebih tegas kerana usaha diplomatik itu belum memberikan penyelesaian.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri telah menghubungi Perdana Menteri Norway tetapi tindakan drastik mesti dilakukan oleh pihak Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menghentikan pembelian barangan dari Norway sebagai mesej tegas terhadap negara berkenaan.

“Tentunya sebarang bekalan atau barangan daripada negara berkenaan harus dipertimbangkan untuk dihentikan pembeliannya… jangan pernah memperkotak-katikkan Malaysia, walaupun sebagai sebuah negara yang relatifnya kecil tetapi kita adalah sebuah negara yang bermaruah,” katanya. 

Pada Khamis, Malaysia memutuskan untuk tidak lagi mempertimbang sebarang perolehan pertahanan daripada Norway susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu anti kapal Naval Strike Missile (NSM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dipersetujui Kabinet selepas kementeriannya mengemukakan cadangan berkenaan, manakala kemungkinan memperluaskannya kepada kementerian lain masih diteliti.

Must Watch Video

Advertisement