KUALA LUMPUR: Kesemua 113 pelarian yang dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur semalam, mempunyai dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pengesahan itu dibuat selepas proses pemeriksaan dan dokumentasi yang dijalankan ke atas kumpulan pelarian berkenaan, di pekarangan Dataran Wira IPK Kuala Lumpur.
Beliau berkata proses dokumentasi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Kuala Lumpur bersama dengan wakil UNHCR.
“Dalam proses pemindahan sekitar 8.50 malam itu, sebanyak 110 pelarian Rohingya dan tiga warga asing lain telah dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur, dengan kerjasama pihak UNHCR.
“Pecahan pelarian Rohingya melibatkan 36 lelaki dan 21 wanita dewasa, serta 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata tiga lagi individu yang turut dipindahkan bersama kumpulan itu ialah seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
Beliau berkata kesemua pelarian berkenaan kini ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur sementara menunggu tindakan lanjut oleh UNHCR, berhubung status komuniti pelarian tersebut.
Media sebelum ini melaporkan kumpulan pelarian itu tiba di ibu negara pada awal pagi semalam dengan menaiki tiga bas selepas diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.
-- BERNAMA