KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mempergiat usaha membanteras jenayah termasuk sindiket mengemis di Kuala Lumpur, antaranya menerusi pewujudan pondok polis baharu dengan kerjasama pihak korporat.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata jenayah itu antara cabaran yang telah lama dihadapi polis dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di ibu negara.
“Apabila merujuk kepada bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, jenayah seperti ragut dan kegiatan mengemis antara cabaran kepada kita.
“Kita sentiasa berusaha membanteras perkara ini dan mengharapkan kerjasama pihak korporat dan masyarakat keseluruhannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pondok Polis Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd (TRXC) Datuk Azmar Talib.
Berhubung penglibatan warga asing dalam kegiatan mengemis, Fadil berkata polis akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam menjalankan siasatan termasuk pihak kedutaan negara individu terbabit.
Beliau berkata jika siasatan mendapati kegiatan itu membabitkan sindiket luar negara, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, Fadil berkata PDRM Kuala Lumpur kini mempunyai 25 balai dan 28 pondok polis di enam daerah polis termasuk Putrajaya.
Beliau berkata Pondok Polis TRX yang berada di bawah pentadbiran Balai Polis Tun H.S. Lee, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hasil kerjasama antara PDRM dan pengurusan TRX bagi memperkukuh aspek keselamatan di kawasan yang menjadi hab kewangan antarabangsa itu.
Beliau berkata pondok polis itu berfungsi sebagai pusat operasi setempat yang membolehkan komunikasi dan penyelarasan penugasan dijalankan dengan lebih berkesan selain meningkatkan kehadiran fizikal polis di situ.
– BERNAMA