SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan beroperasi seperti biasa dan urusan perniagaan tidak terjejas berikutan kebakaran pada malam Khamis lepas.
PKPS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kebakaran tidak melibatkan bangunan utama yang menempatkan operasi harian serta aktiviti perniagaan, selain punca kejadian kini dalam siasatan pihak berkuasa.
“Kawasan Pasar Borong Selangor disahkan selamat dan operasi harian diteruskan seperti biasa. PKPS juga telah mengaktifkan Pusat Pengurusan Krisis yang beroperasi 24 jam bagi memantau perkembangan semasa.
“Dalam masa sama, PKPS akan menyelaras tindakan susulan dan menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” menurut kenyataan itu.
PKPS memaklumkan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar telah mengesahkan kebakaran tidak membabitkan bangunan utama pasar dan operasi pemadaman selesai pada 6 pagi semalam.
Ashrul Riezal turut memaklumkan PKPS bahawa operasi pemadaman ditamatkan pada 6 petang hari sama dan kawasan pasar kini disahkan selamat.
Sementara itu, Ashrul Riezal semasa dihubungi berkata Bahagian Penyiasatan Ibu Pejabat JBPM Selangor akan memulakan siasatan punca kebakaran pada Isnin depan, namun penilaian awal oleh pegawai siasatan dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah dimulakan.
“Bagaimanapun Unit K9 terpaksa ditangguhkan seketika daripada memasuki kawasan titik panas berikutan keadaan persekitaran dalam kawasan itu yang masih berbahang dan panas semasa penilaian awal dijalankan,” katanya.
Sebelum ini, sebanyak 68 anggota JBPM dengan kekuatan 16 jentera terlibat dalam operasi pemadaman dengan bantuan anggota daripada 13 balai bomba, termasuk dari Bukit Jalil, Presint 7, Bandar Tun Hussein Onn, Petaling Jaya, Bangi, KLIA, Keramat, Hang Tuah, Hartamas, Cyberjaya, Bukit Jelutong, Subang Jaya dan Damansara.
Operasi turut dibantu 67 anggota daripada 11 Pasukan Bomba Sukarela, selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan pasukan keselamatan Pasar Borong Selangor.
-- BERNAMA