Skip to main content

Malaysia

PAC syor MOF buat kajian komprehensif cari model pengurusan kenderaan kerajaan lebih berkesan

KUALA LUMPUR, 8 Julai -- Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mas Ermieyati (tengah) berkata kajian itu perlu menilai aspek penjimatan kos dan kecekapan penyampaian perkhidmatan berbanding model konsesi tunggal sedia ada, yang mengikat kerajaan sehingga 2037. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), membuat kajian menyeluruh terhadap model pengurusan kenderaan kerajaan lebih berkesan, termasuk meneliti pelaksanaan sistem pembekal fleet pelbagai.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kajian itu, perlu menilai aspek penjimatan kos dan kecekapan penyampaian perkhidmatan berbanding model konsesi tunggal sedia ada, yang mengikat kerajaan sehingga 2037.

Beliau berkata kerajaan perlu menyediakan opsyen model kenderaan alternatif bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas, sekiranya berlaku gangguan atau penamatan operasi mengejut oleh pihak pengeluar.

“PAC turut mengesyorkan MOF meminda ketetapan tempoh pembekalan 60 hari bekerja dalam syarat kontrak sedia ada, serta pekeliling semasa untuk diselaraskan dengan norma dan keupayaan sebenar industri automotif ketika ini.

“MOF juga perlu memastikan sistem digital pemantauan fleet kenderaan digunakan sepenuhnya oleh semua kementerian dan agensi pengguna,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Bagi memastikan kecekapan, Mas Ermieyati mahu sistem tersebut dilengkapi dengan sistem amaran awal tamat pajakan, untuk mengelakkan kelewatan pesanan kenderaan baharu.

Pada masa yang sama, beliau juga mendesak MOF mengemas kini perjanjian tambahan dengan syarikat konsesi SPANCO Sdn Bhd, agar kerajaan tidak dikenakan kadar pajakan bulanan bagi kenderaan yang tamat kontrak, sekiranya kelewatan pembekalan model baharu berpunca daripada pihak konsesi.

Mas Ermieyati berkata MOF perlu menyegerakan autdit dan pengesahan data baki hari kelewatan pembekalan di semua kenterian dan agensi, bagi memastikan Surat Tuntutan Penalti rasmi dapat dihantar terus kepada syarikat konsesi secepat mungkin.

Beliau berkata Penyata PAC berkaitan pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi MOF dibentangkan di Prlimen hari ini, selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mendapati prestasi pengurusan konsesi berkenaan tidak memuaskan akibat kelewatan kritikal dalam membekal serta menggantikan kenderaan kerajaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement