Skip to main content

Malaysia

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai isu pekerja asing diadakan minggu depan - Fahmi

Fahmi Fadzil Sidang Media
Fahmi berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Ahmad Zahid susulan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini - Foto Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu Pekerja Asing akan diadakan seawal minggu depan bagi meneliti dan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pekerja asing, termasuk dalam sektor makanan dan minuman.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

"Jemaah Menteri turut meneliti isu pekerja asing termasuk di sektor makanan dan minuman. Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu Pekerja Asing diadakan seawal minggu hadapan dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Tujuannya adalah untuk memastikan isu-isu berkaitan pekerja asing dapat diurus dan diselesaikan. Bagi sektor-sektor yang sedang membangkitkan isu ini, kita nantikan hasil mesyuarat tersebut," katanya pada sidang media mingguan hari ini

Mengulas mengenai isu pelarian Rohingya di Malaysia, Fahmi berkata kerajaan masih meneliti beberapa cadangan hasil mesyuarat penyelarasan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Beliau berkata mesyuarat itu membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Menteri Besar Selangor serta beberapa agensi lain.

"Mesyuarat itu diadakan bagi menyusuli satu mesyuarat terdahulu yang berlangsung dua minggu lalu. Minggu lepas kita adakan satu lagi mesyuarat dan Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan hasil daripada perbincangan tersebut," ujarnya.

Menurut Fahmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan KDN meneliti dapatan mesyuarat itu dan menyelaraskan tindakan lanjut bersama kementerian serta agensi berkaitan, termasuk Kementerian Luar dan agensi penguat kuasa.

Beliau berkata penyelarasan itu penting bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil, termasuk berkaitan pendaftaran, penguatkuasaan atau perkara lain melibatkan pelarian Rohingya, dapat dilaksanakan secara bersepadu oleh semua agensi termasuk pihak berkuasa tempatan.

"Perkara ini masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan khusus yang boleh diumumkan hari ini. Perbincangan akan diteruskan dalam masa terdekat," katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement