Skip to main content

Malaysia

Merusuh di akademi memandu, tujuh individu didenda RM2,000

51733742339_TBGAVEL.jpg
Tujuh individu termasuk seorang wanita masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Tumpat hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh di sebuah akademi memandu, bulan lepas. - Foto hiasan

TUMPAT: Tujuh individu termasuk seorang wanita masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh di sebuah akademi memandu, bulan lepas.

Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi turut memerintahkan kesemua tertuduh yang berusia antara 22 hingga 52 tahun itu menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh ialah Azli Mamat, 42; Mohd Azaki Mamat, 42; Mohd Khadri Ghani, 52; Ahmad Faizal Juhari, 35; Muhammad Alif Hakimi Abd Hamid, 22; Muhammad Izzat Romli, 25; dan Nor Hasida Mamat, 38, yang mempunyai hubungan kekeluargaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang dan menggunakan kekerasan bagi melaksanakan tujuan kumpulan di sebuah akademi memandu di Berangan, di sini pada 10 pagi, 24 Mei lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh memandangkan insiden itu yang telah menimbulkan kekecohan dan kegentaran awam.

Bagaimanapun, peguam Shamsul Baharin memohon denda ringan atas alasan anak guamnya telah menjimatkan kos dan masa mahkamah dengan pengakuan bersalah, selain kesalahan itu adalah kesalahan pertama mereka.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang instructor (pengajar) akademi memandu berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membangkitkan kemarahan sehingga menyebabkan insiden rusuhan tersebut berlaku.

Mohamad Azwani Husin, 50, didakwa mendatangkan marah kepada seorang gadis berusia 18 tahun di akademi memandu berkenaan pada 10 pagi, 23 Mei lepas dan mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan kesalahan merusuh.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 153 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Mahfuzah Hamizah, manakala tertuduh diwakili peguam Roshalizawati Muhammad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan Mohamad Azwani diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement