KUALA NERUS: Malaysia sedang menunggu maklum balas daripada pihak Thailand bagi soal selidik berkaitan import udang sebelum menilai tahap pematuhan aspek biosekuriti negara itu susulan tindakan penggantungan sementara kemasukan lima spesies udang dari negara berkenaan.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah meminta Thailand membalas soal selidik yang dihantar melalui pejabat perwakilan pertanian Malaysia di Bangkok.
"Kita akan menilai sejauh mana perkara itu memenuhi keperluan dari aspek biosekuriti dalam negara," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Laut Sedunia 2026, di Taman Laut Pulau Redang, di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, Adnan berkata Malaysia turut memperkukuh instrumen biosekuriti dengan mengenakan kawalan terhadap import ikan siakap dari Thailand termasuk keperluan Sijil Analisis (CoA), susulan tindakan negara itu mengenakan sekatan serta pemeriksaan penuh terhadap ikan siakap Malaysia.
"Siakap kita juga dikenakan sekatan dan pemeriksaan penuh oleh pihak Thailand. Jadi kita juga mengukuhkan instrumen biosekuriti yang sama," katanya.
Dalam pada itu Adnan berkata tiada tempoh khusus ditetapkan buat masa ini kepada Thailand untuk mengemukakan maklum balas tersebut.
"Kita tidak menetapkan tempoh tertentu tetapi menyasarkan akan menilai maklum balas itu selepas menerima laporan penuh daripada pihak Thailand," katanya.
Pada 16 Mei lepas, Malaysia memperketatkan kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan CoA bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang bermula 1 Jun lepas.
Sekatan sementara itu membabitkan spesies udang Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon dan Penaeus stylirostris.
Susulan itu, Thailand semalam dilaporkan bersedia membangkitkan isu penggantungan sementara import lima spesies udang dari negara itu oleh Malaysia di forum Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN sekiranya rundingan dua hala gagal menyelesaikan isu berkenaan.
-- BERNAMA