KUCHING: Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap penyebaran fahaman ekstremis dan radikal kerana ia berpotensi menggugat keamanan, kestabilan serta perpaduan dalam masyarakat majmuk negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagi membendung fahaman tersebut, usaha perlu bermula dengan matlamat melahirkan masyarakat yang progresif dan sederhana selain memperkukuh pembinaan sahsiah menerusi pendidikan berteraskan nilai agama.
“Usaha berkenaan tidak boleh digalas oleh kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama institusi keluarga, institusi pendidikan dan seluruh lapisan masyarakat untuk membendung fahaman ekstremis sejak peringkat awal.
“Pembentukan sahsiah dan nilai individu merupakan pendekatan paling berkesan dalam jangka panjang kerana individu yang mempunyai pegangan nilai yang baik tidak mudah dipengaruhi fahaman radikal atau ekstrem…pembinaan sahsiah perlu diberikan perhatian, khususnya melalui pendidikan akhlak yang berteraskan al-Quran dan al-Sunah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara Sarawak Maju Makmur Tahun 2026M/1448H, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di sini hari ini.
Fadillah berkata aspek perundangan tetap penting dalam menangani ancaman berkenaan, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan negara, keharmonian masyarakat dan piawaian antarabangsa.
“Perundangan seharusnya menjadi langkah terakhir, manakala keutamaan perlu diberikan kepada usaha membentuk masyarakat yang berakhlak dan berpegang kepada nilai murni sebagai benteng terbaik dalam mencegah penyebaran fahaman ekstremis,” katanya.
Sementara itu, Ayob Khan dilaporkan berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sebelum ini disifatkan antara pendekatan paling berkesan untuk menangani isu keselamatan, perkauman, agama, ajaran sesat serta perkara berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Beliau berkata ketika ISA masih berkuat kuasa, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sekiranya sesuatu fahaman atau ajaran dikenal pasti mengancam keselamatan negara, perpaduan kaum atau bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa tanpa perlu menunggu tindakan daripada Jabatan Agama Islam Negeri.
-- BERNAMA