Skip to main content

Malaysia

Malaysia-Thailand sasar perdagangan dua hala RM122 bilion menjelang 2027

Anwar Ibrahim Anutin Charnvirakul -- astro awani
Anwar (kiri) bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada sidang media di Kompleks Seri Perdana hari ini. -Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand menyasarkan perdagangan dua hala bernilai kira-kira RM122 bilion (AS$30 bilion) menjelang 2027 sebagai usaha memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kedua-dua negara perlu bekerja lebih keras bagi mencapai sasaran itu dengan kementerian berkaitan ekonomi dan perdagangan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama sedia ada.

"Untuk mencapai matlamat itu, kedua-dua Menteri Ekonomi serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kerana persahabatan yang kukuh dan kerjasama dalam semua bidang, termasuk pelancongan, perlu bermula dengan asas ekonomi dan perdagangan yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, di Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Khamis.

Anwar berkata kedua-dua negara turut bersetuju meneruskan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Sempadan bagi merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sempadan.

"Kami juga bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Sempadan serta mempermudah urusan imigresen dan kastam antara kedua-dua negara," katanya.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian yang ditandatangani Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bersama rakan sejawatnya dari Thailand.

Anutin tiba di Malaysia pada jam 11.11 pagi Khamis bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari dan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada 2025, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan mencecah RM118.57 bilion (AS$27.73 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand meningkat kepada RM31.33 bilion (AS$7.90 bilion) berbanding RM27.35 bilion (AS$6.15 bilion) bagi tempoh sama tahun lalu.
 

Must Watch Video

Advertisement