KUALA LUMPUR: Malaysia terus menunjukkan daya tahan ekonomi yang kukuh meskipun berdepan cabaran global termasuk ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata keyakinan pelabur terhadap Malaysia kekal positif kerana negara dilihat mempunyai kestabilan serta persekitaran yang kondusif untuk pelaburan.
“Walaupun situasi di luar memang mencabar sekali. Kerana usaha kita dalam rangka kerja ekonomi dan kita masih berjaya untuk menukar cara ekonomi kita bergerak ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri Ke-12.
Forum mengenai ekonomi itu bertajuk ‘Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global’ di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini, pada Jumaat.
Namun Amir Hamzah turut berpendapat Malaysia harus membuat pembaharuan pada masa hadapan berdasarkan perancangan yang telah dibincangkan dalam forum tersebut.
Menurutnya, ia melibatkan Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bagi memperkukuh serta meningkatkan perancangan ekonomi negara.
“Bagaimana hendak meningkatkan ekonomi kita (agar) Malaysia terus menjadi segmen yang kuat dalam industri-industri baharu,” katanya lagi.
Menurutnya, antara industri yang diberi tumpuan termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, pusat data kecerdasan buatan (AI), industri berteknologi tinggi, minyak dan gas serta aeroangkasa.
Tambah beliau, usaha kerajaan ketika ini tertumpu kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mengintegrasikannya dengan pelaburan domestik bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.