Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu kerangka tersusun tangani isu pelarian Rohingya - Pakar

81681304314_RohingyaMyanmar.jpg
Siti Darwinda berkata pendekatan yang lebih holistik, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian jangka panjang perlu dipertimbangkan bagi memastikan isu pelarian dapat diurus dengan lebih berkesan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan satu rangka kerja yang lebih tersusun dan komprehensif bagi mengurus isu pelarian, termasuk komuniti Rohingya, dengan mengambil kira aspek kemanusiaan, keselamatan dan pembangunan negara.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Penyelidikan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero mencadangkan agar Kerangka Tindak Balas Pelarian Bersasar (TRRF) diperkenalkan bagi menyediakan mekanisme pengurusan pelarian yang lebih sistematik berdasarkan keperluan semasa serta matlamat jangka panjang.

Beliau berkata kerangka itu merangkumi empat peringkat utama iaitu kemasukan, tindak balas kecemasan, ketahanan dan berdikari, serta penyelesaian jangka panjang.

“Pengalaman negara lain menunjukkan bahawa pengurusan pelarian yang berkesan memerlukan keseimbangan antara pertimbangan kemanusiaan, keselamatan dan pembangunan.

“Negara seperti Kanada, Jerman dan Uganda membuktikan bahawa pelarian boleh diberikan akses kepada pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan asas tanpa menjejaskan kepentingan negara,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, Jordan pula menunjukkan bahawa walaupun sesebuah negara tidak menjadi pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, pendekatan pragmatik melalui akses pekerjaan dan integrasi ekonomi masih mampu memberi manfaat kepada pelarian serta negara penerima.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengingatkan pelarian Rohingya di negara ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan atau berdepan tindakan tegas.

Sehubungan itu, Siti Darwinda berkata pendekatan yang lebih holistik, berstruktur dan berorientasikan penyelesaian jangka panjang perlu dipertimbangkan bagi memastikan isu pelarian dapat diurus dengan lebih berkesan, selaras dengan kepentingan keselamatan negara serta tanggungjawab kemanusiaan Malaysia.

Beliau berkata usaha meningkatkan pematuhan komuniti Rohingya terhadap undang-undang tempatan tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi pendidikan, penglibatan berterusan dan pembangunan kapasiti.

“Komuniti Rohingya perlu diberikan pendedahan yang lebih menyeluruh mengenai undang-undang tempatan, hak dan tanggungjawab mereka, selain norma sosial dan budaya masyarakat Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata program libat urus antara komuniti Rohingya, pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat perlu diperkasakan bagi membina kepercayaan serta menggalakkan kerjasama yang lebih baik.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Seremban, Shahidah Abdul Razak berkata peringatan Perdana Menteri itu adalah wajar kerana status pelarian yang diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak mengecualikan seseorang daripada tindakan undang-undang sekiranya terbabit dalam kegiatan jenayah atau pelanggaran peraturan.

Sehubungan itu, beliau berkata komuniti Rohingya perlu diperkasakan menerusi pendekatan pendidikan dan integrasi sosial, termasuk pendedahan berterusan mengenai undang-undang tempatan, hak serta tanggungjawab mereka.

Beliau berkata kerjasama antara kerajaan, agensi antarabangsa, pertubuhan masyarakat sivil dan pemimpin komuniti Rohingya juga penting bagi memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan secara berkesan kepada golongan berkenaan.

Pada masa sama, Shahidah berpandangan Malaysia wajar mempertimbangkan satu rangka kerja khas yang komprehensif bagi membantu kerajaan mengenal pasti pelarian yang sah, mengawal selia penempatan mereka, menyediakan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran yang bersesuaian, serta menetapkan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Katanya pendekatan itu bukan sahaja melindungi kepentingan negara, malah mampu mengurangkan risiko berlakunya aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Bagi Malaysia, pendekatan terbaik ialah membangunkan model pengurusan pelarian yang mengambil kira realiti demografi, ekonomi dan keselamatan negara, dengan matlamat memastikan pelarian mematuhi undang-undang serta isu berkenaan dapat diurus secara teratur, berperikemanusiaan dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement