WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, satu perjanjian bagi menamatkan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran dijadualkan dimeterai pada Ahad, walaupun Tehran menyuarakan keraguan terhadap garis masa tersebut.
Menerusi hantaran di media sosial, Trump menyatakan, Selat Hormuz, laluan perkapalan utama dunia, akan “dibuka kepada semua” sejurus perjanjian itu dimuktamadkan.
Pakistan yang bertindak sebagai pengantara penting, turut memaklumkan, perjanjian itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 24 jam, sambil menambah bahawa mereka kini sedang “bersiap sedia untuk penandatanganan secara elektronik.”
Sebelum kenyataan Trump, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menunjukkan pendekatan berhati-hati terhadap jadual berkenaan dengan berkata: “Kita perlu tunggu dan lihat tentang tarikh tepat penandatanganan memorandum persefahaman itu, walaupun ia bukan esok.”
Dalam hantaran di Truth Social, Trump menulis: “Perjanjian ini dijadualkan ditandatangani esok, dan serta-merta selepas ia dimeterai, Selat Hormuz akan DIBUKA UNTUK SEMUA.”
Dalam kenyataan yang dilihat merujuk kepada stok uranium diperkaya Iran, Trump berkata, “pada masa yang sesuai, apabila keadaan tenang sepenuhnya, kita akan masuk untuk menangani habuk nuklear itu”, sambil menambah ia akan dimusnahkan kemudian.
Sejak beberapa dekad lalu, Iran sering dituduh negara Barat cuba membangunkan senjata nuklear.
Namun, Tehran menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan programnya adalah untuk tujuan aman, termasuk penjanaan tenaga elektrik dan penyelidikan.
Trump turut memberi amaran bahawa sekiranya proses itu tidak berjalan “dengan cepat, mudah dan lancar”, Washington mempunyai “alternatif muktamad, yang diharapkan tidak perlu digunakan lagi.”
Terdahulu pada Sabtu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, menyatakan pihaknya kini “lebih hampir kepada perjanjian damai berbanding sebelum ini”.
“Dengan pemuktamadan dijangka dalam tempoh 24 jam akan datang, Pakistan sedang bersedia untuk penandatanganan perjanjian damai secara elektronik, diikuti rundingan peringkat teknikal minggu hadapan,” kata Sharif menerusi hantaran di platform X.
Pada Jumaat, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi turut memaklumkan, perjanjian dengan Amerika Syarikat hampir dicapai.
Menurutnya, perjanjian itu merangkumi usaha menamatkan konflik antara Israel dan Hezbollah di Lubnan.
Araghchi kepada televisyen negara Iran berkata, perjanjian tersebut turut melibatkan pembukaan semula Selat Hormuz serta penamatan sekatan Amerika Syarikat ke atas pelabuhan Iran.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, rundingan berkaitan program nuklear Iran akan bermula pada peringkat seterusnya.
Pegawai Amerika Syarikat mengesahkan beberapa butiran perjanjian itu, dengan menyatakan bahawa manfaat ekonomi kepada Iran bergantung kepada pematuhan Tehran terhadap syarat yang dipersetujui.
Laporan terdahulu dari Amerika Syarikat pula mencadangkan, Lubnan mungkin tidak termasuk dalam perjanjian ini, dengan Iran dilaporkan bertegas untuk memasukkannya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai versi perjanjian telah dijangka dimuktamadkan beberapa kali, namun gagal diselesaikan pada peringkat akhir.
Konflik bermula susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel serta negara sekutu Amerika di Teluk, selain menutup secara efektif Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport minyak dan gas asli cecair global.
Walaupun gencatan senjata dipersetujui pada April, Amerika Syarikat dan Iran masih bertukar serangan secara berkala, termasuk dua pusingan serangan balas-membalas pada minggu ini. - Agensi