LONDON: Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan pada Sabtu bahawa ia menerima laporan mengenai sebuah kapal tangki yang terkena serangan projektil tidak dikenali kira-kira enam batu nautika di timur Oman, lapor Xinhua.
Menurut notis amaran UKMTO, bahagian haluan kiri kapal tangki berkenaan terkena tembakan projektil yang tidak dapat dipastikan itu.
Kru kapal dilaporkan selamat, dan tiada sebarang kesan terhadap alam sekitar dilaporkan.
Kapal tangki terbabit kini sedang meneruskan pelayaran ke pelabuhan persinggahan seterusnya yang telah dijadualkan, menurut notis itu.
Tahap keselamatan di dalam dan sekitar Selat Hormuz kekal meruncing sejak beberapa minggu kebelakangan ini berikutan ketegangan wilayah yang semakin meningkat.
Sejak kebelakangan ini, UKMTO telah mengeluarkan beberapa amaran berhubung insiden keselamatan yang menjejaskan kapal-kapal komersial di perairan berhampiran.
-- BERNAMA-XINHUA