OSLO: Norway bersiap sedia menanti keputusan mahkamah dalam perbicaraan kes rogol melibatkan Marius Borg Hoiby, anak kepada puteri mahkota negara itu, yang dijangka diumumkan pada Isnin.
Keputusan akan dibacakan oleh tiga hakim di Mahkamah Daerah Oslo dan Hoiby, 29, akan mengetahui hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya.
Hoiby akan mengikuti prosiding menerusi pautan video atas faktor kesihatan, hampir tiga bulan selepas perbicaraan terhadap 40 pertuduhan, termasuk empat dakwaan rogol, selesai.
Beliau menafikan tuduhan paling serius itu, namun mengaku bersalah terhadap beberapa kesalahan ringan melibatkan dadah dan trafik.
Pendakwa raya mencadangkan hukuman penjara selama tujuh tahun tujuh bulan, manakala pihak pembelaan berpendapat hukuman sekitar satu setengah tahun adalah memadai.
Hoiby, yang ibunya menyertai keluarga diraja ketika beliau berusia empat tahun, ditahan sejak awal Februari selepas dituduh melakukan serangan dan melanggar perintah sekatan melibatkan bekas teman wanitanya.
Beberapa usaha pihak peguam untuk membebaskannya sebelum keputusan mahkamah telah ditolak.
Dalam masa sama, Puteri Mahkota Mette-Marit kini dilaporkan berada dalam keadaan kesihatan yang serius dan baru-baru ini dimasukkan dalam senarai menunggu pemindahan paru-paru.
Permohonan untuk membenarkan H0iby dibebaskan bagi bersama ibunya turut ditolak mahkamah rayuan, walaupun keluarga diraja dilihat berdepan situasi sukar.
Kes berprofil tinggi ini turut mencerminkan tekanan besar yang dihadapi keluarga diraja Norway, dengan perhatian awam dan antarabangsa tertumpu terhadap perkembangan kes tersebut.
Sepanjang perbicaraan, Hoiby yang bukan ahli rasmi keluarga diraja tetapi dibesarkan bersama ahli kerabat, terus menjadi tumpuan media, dan hukuman berat berpotensi memberi kesan besar kepada imej institusi diraja.
Empat wanita yang didakwa menjadi mangsa rogol diberikan perlindungan identiti, manakala prosiding mahkamah turut membataskan penyiaran gambar mereka.
Pendakwa raya mendakwa kejadian rogol berlaku ketika mangsa berada dalam keadaan tidak sedar atau tidak berupaya memberi persetujuan, dakwaan yang ditolak oleh Hoiby.
Selain itu, beliau turut berdepan pelbagai pertuduhan lain termasuk keganasan terhadap bekas pasangan, ancaman, serta kesalahan berkaitan dadah dan pemanduan.
Kes ini bermula sejak penahanan awalnya pada Ogos 2024 dan kini menjadi antara skandal terbesar yang menggoncang keluarga diraja Norway dalam tempoh beberapa dekad.
Penganalisis turut berpandangan bahawa keputusan mahkamah ini akan memberi kesan besar terhadap reputasi institusi diraja negara itu, yang kini berdepan krisis kepercayaan dalam kalangan masyarakat. - Agensi