PIALA Dunia bukan hanya tentang gol dan trofi. Ia turut menghadirkan lagu-lagu ikonik yang membakar semangat jutaan peminat di seluruh dunia. Berikut 10 yang paling ikonik dan diingati sepanjang zaman.
1. Waka Waka (This Time for Africa) – Shakira feat. Freshlyground (Piala Dunia 2010, Afrika Selatan)
Mungkin inilah lagu Piala Dunia paling terkenal dalam sejarah moden.
Gabungan irama Afrika yang rancak dengan vokal bertenaga Shakira menjadikan lagu ini fenomena global.
2. The Cup of Life – Ricky Martin (Piala Dunia 1998, Perancis)
"Go, go, go! Ale, ale, ale!" menjadi laungan keramat peminat bola sepak di seluruh dunia selepas lagu ini diperkenalkan.Persembahan bertenaga Ricky Martin ketika majlis penutup Piala Dunia 1998 melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa.
3. Wavin' Flag – K'naan (Piala Dunia 2010, Afrika Selatan)
Walaupun bukan lagu rasmi FIFA, versi Coca-Cola untuk Piala Dunia 2010 ini berjaya mencuri perhatian dunia. Dengan lirik tentang harapan, kebebasan dan ketabahan, lagu nyanyian penyanyi Somalia-Kanada itu menjadi simbol inspirasi yang dekat di hati peminat.
4. La Copa de la Vida – Ricky Martin (Piala Dunia 1998, Perancis)
Versi bahasa Sepanyol bagi The Cup of Life ini mempunyai tempat istimewa dalam kalangan peminat Amerika Latin. Irama salsa dan pop Latin yang bersemangat menjadikannya antara lagu bola sepak paling dikenali sepanjang zaman.
5. We Are One (Ole Ola) – Pitbull feat. Jennifer Lopez & Claudia Leitte (Piala Dunia 2014, Brazil)
Walaupun menerima reaksi bercampur-campur ketika dilancarkan, lagu ini tetap berjaya mencerminkan kemeriahan Brazil sebagai tuan rumah. Rentak samba dan elemen pop moden memberikan suasana pesta yang sinonim dengan negara itu.
6. Live It Up – Nicky Jam feat. Will Smith & Era Istrefi (Piala Dunia 2018, Rusia)
Gandingan unik antara Nicky Jam, Will Smith dan Era Istrefi menghasilkan lagu yang moden serta mudah diterima generasi muda. Persembahan mereka pada majlis penutup Piala Dunia Rusia turut mendapat perhatian dunia.
7. Hayya Hayya (Better Together) – Trinidad Cardona, Davido & Aisha (Piala Dunia 2022, Qatar)
Lagu pertama daripada runut bunyi rasmi Piala Dunia Qatar ini mengetengahkan mesej kebersamaan dan persahabatan. Gabungan artis dari tiga benua berbeza menggambarkan sifat inklusif bola sepak sebagai sukan sejagat.
8. Dreamers – Jung Kook feat. Fahad Al Kubaisi (Piala Dunia 2022, Qatar)
Kemunculan anggota BTS, Jung Kook, menjadikan lagu ini sensasi global. Dipersembahkan semasa majlis pembukaan, Dreamers berjaya menarik minat generasi baharu peminat bola sepak dan muzik K-pop.
9. Boom – Anastacia (Piala Dunia 2002, Korea Selatan/Jepun)
Lagu rasmi kejohanan pertama di Asia ini mungkin tidak sepopular karya lain dalam senarai, namun korusnya yang kuat dan bertenaga berjaya membangkitkan semangat penyokong ketika itu.
10. Gloryland – Daryl Hall & Sounds of Blackness (Piala Dunia 1994, Amerika Syarikat)
Sarat dengan elemen gospel dan soul, Gloryland membawa pendekatan berbeza berbanding lagu Piala Dunia lain. Ia mencerminkan cita rasa muzik Amerika pada era 1990-an dan kekal diingati oleh peminat setia kejohanan tersebut. - Sinar Harian