BERN, SWITZERLAND: Switzerland bakal membuat keputusan penting pada Ahad sama ada untuk mengehadkan jumlah penduduknya kepada 10 juta, dalam satu referendum yang mencetuskan perpecahan pandangan berkaitan isu imigresen di negara itu.
Cadangan tersebut disokong Parti Rakyat Switzerland (SVP) berhaluan kanan, yang menyifatkannya sebagai “inisiatif kelestarian” bagi mengurangkan tekanan terhadap perumahan, perkhidmatan awam dan alam sekitar.
Namun, sebahagian pengundi melihat langkah itu sebagai usaha terbaharu parti berkenaan untuk menyekat imigresen.
Kerajaan Switzerland bersama parti politik lain, pemimpin perniagaan dan kesatuan pekerja menentang cadangan itu, menyifatkannya sebagai “inisiatif huru-hara” yang boleh menjejaskan sektor penting seperti kesihatan dan pelancongan akibat kekurangan tenaga kerja, selain berisiko merosakkan hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).
Jumlah penduduk Switzerland meningkat pesat sejak 2002 daripada 7.3 juta kepada sekitar 9.1 juta ketika ini, dengan 27 peratus daripadanya terdiri daripada penduduk yang lahir di luar negara.
Sistem demokrasi langsung Switzerland membolehkan keputusan besar dibuat melalui referendum, dengan kempen hanya memerlukan 100,000 tandatangan untuk mencetuskan undian nasional.
Sebahagian pengundi menyuarakan kebimbangan terhadap kesesakan pengangkutan awam, kenaikan harga perumahan serta kos kesihatan yang semakin meningkat.
Tinjauan terkini menunjukkan keputusan undian dijangka sengit, dengan sekitar 52 peratus pengundi menolak cadangan itu, manakala 45 peratus menyokong dan selebihnya masih belum membuat keputusan.
Perbezaan pandangan jelas terpancar menerusi dua ahli politik muda tempatan, Helin Genis dan Nils Fiechter yang masing-masing berasal daripada keluarga imigran tetapi mempunyai pendirian bertentangan.
Fiechter, wakil SVP mendakwa, imigresen tidak terkawal menyebabkan Switzerland “kehilangan identitinya” selain menjadi punca kepada pelbagai masalah termasuk kekurangan perumahan, kesesakan trafik dan tekanan terhadap sistem sosial.
Sebaliknya, Genis yang mewakili Parti Demokrat Sosial menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha menyalahkan imigran.
“Kadar sewa, premium insurans kesihatan dan keputusan dasar awam tidak ditentukan oleh migran,” katanya sambil menegaskan bahawa melihat masalah semata-mata melalui sudut imigresen hanya akan menimbulkan perpecahan.
Bagaimanapun, persoalan utama bagi pengundi yang masih ragu-ragu adalah bagaimana had jumlah penduduk itu akan dilaksanakan.
Cadangan itu menetapkan jumlah penduduk tidak boleh melebihi 10 juta menjelang 2050, dengan kerajaan perlu mengambil langkah kawalan apabila angka mencecah 9.5 juta.
Langkah tersebut boleh termasuk mengehadkan pemberian suaka serta menamatkan hak penyatuan keluarga bagi pekerja asing.
Jika had itu dicapai, Switzerland juga mungkin perlu menamatkan perjanjian antarabangsa, termasuk kebebasan pergerakan dengan EU.
Perkara itu membimbangkan sektor perniagaan, dengan ketua ekonomi Economiesuisse, Rudolf Minsch memberi amaran ia boleh menjejaskan hubungan dengan EU - rakan dagang utama negara itu.
Majikan turut bimbang terhadap kekurangan tenaga kerja, memandangkan separuh pekerja dalam sektor perhotelan serta sebahagian besar tenaga kerja hospital dan penjagaan warga emas adalah warga asing.
Penyokong cadangan berhujah imigresen meningkatkan permintaan terhadap kemudahan kesihatan dan pendidikan, manakala penentang pula menyifatkan ia tidak realistik, terutama ketika 20 peratus penduduk Switzerland kini berusia lebih 65 tahun.
Keperluan tenaga kerja muda untuk menyokong populasi menua dilihat semakin kritikal, dan negara itu tidak mampu menampung keperluan tersebut tanpa sumbangan pekerja asing.
Ahli Parlimen Demokrat Sosial, Jon Pult menyuarakan kebimbangan bahawa had penduduk boleh menyebabkan Switzerland “terasing” dalam dunia yang semakin tidak stabil.
Dalam keadaan kos tenaga meningkat akibat konflik global serta tekanan perdagangan antarabangsa, langkah itu dilihat berisiko melemahkan kedudukan negara itu di peringkat global.
Faktor kebimbangan terhadap pengasingan juga dijangka mempengaruhi pengundi, terutama selepas Amerika Syarikat mengenakan tarif tinggi ke atas barangan Switzerland sebelum ini.
Kempen menolak cadangan itu turut memaparkan mesej bahawa memutuskan hubungan dengan Eropah dalam keadaan semasa adalah langkah berbahaya.
Namun, Fiechter menegaskan bahawa matlamat utama cadangan itu adalah untuk melindungi kualiti hidup Switzerland.
“Sesiapa yang cintakan Switzerland mahu ia kekal selamat dan makmur. Itulah tujuan inisiatif ini,” katanya.
Sementara itu, Genis berpendapat, cadangan berkenaan lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding manfaat.
“Persoalan sebenar bukan bagaimana menolak kemasukan orang luar, tetapi bagaimana menyediakan perumahan mampu milik, kondisi kerja yang baik dan perkhidmatan awam yang kukuh,” katanya. - Agensi