Skip to main content

Dunia

Ghana bantah tindakan Kanada tolak visa pemain tengah, Partey

FILE PHOTO: Ghana national team and Villarreal midfielder Thomas Partey, who is facing two additional counts of rape and has pleaded not guilty to five counts of rape and one count of sexual assault, leaves the Southwark Crown Court in London, Britain, April 13, 2026. REUTERS/Hannah McKay TPX IMAGES OF THE DAY/File Photo
Partey ketika hadir di mahkamah di London, Britain, 13 April 2026. - Gambar fail/REUTERS

NEW YORK: Ghana telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kanada selepas hos bersama Piala Dunia itu menolak kemasukan pemain tengahnya, Thomas Partey, menurut Kementerian Luar Ghana pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kementerian berkenaan telah menghantar nota bantahan rasmi kepada Jabatan Hal Ehwal Global Kanada, selain meminta negara itu menyemak semula "keputusan yang dikesali itu," menurut satu kenyataan.

Partey kini berada di kem latihan Ghana di Amerika Syarikat (AS), namun Kanada enggan membenarkan beliau masuk bagi perlawanan pertama Piala Dunia menentang Panama di Toronto pada Rabu depan. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memaklumkan kepada dpa bahawa Partey tidak dapat melakukan perjalanan berikutan masalah visa.,

Pemain Villarreal berusia 33 tahun itu didakwa di London  tahun lepas atas tujuh pertuduhan merogol dan satu pertuduhan serangan seksual antara tahun 2020 hingga 2022 semasa beliau beraksi untuk Arsenal.

Partey menafikan semua pertuduhan berkenaan dan perbicaraan kesnya dijadualkan bermula tahun depan.

Perlawanan kedua dan ketiga Ghana dalam Kumpulan L menentang England dan Croatia akan berlangsung di AS, yang mana beliau dilihat tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan visa memandangkan beliau telah memasuki negara itu bersama baki skuad lain pada 4 Jun.

Kerajaan Ghana menyatakan bahawa beliau merupakan pemain "utama" pasukannya dan belum disabitkan dengan sebarang jenayah buat masa ini. Andaian tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah harus diutamakan.

Pendirian Kanada itu "menimbulkan persoalan asas mengenai keadilan dan perkadaran," menurut kementerian luar di Accra.

Kerajaan Kanada tidak memberikan ulasan mengenai kes individu terbabit. Bagaimanapun, sebelum berita berkenaan tersebar, Jabatan Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada (IRCC) memberitahu media The Athletic: "Keselamatan rakyat Kanada adalah keutamaan kami dalam menyambut kedatangan peserta dan pelawat Piala Dunia FIFA dari seluruh dunia.

"Pegawai IRCC adalah pembuat keputusan terlatih yang menilai kelayakan dan kebenaran masuk seseorang individu selaras dengan undang-undang imigresen Kanada. Jika mereka percaya seseorang individu boleh mendatangkan risiko keselamatan, mereka boleh memutuskan untuk menolak kemasukan individu terbabit."

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement