Skip to main content

Malaysia

LHDN lanjut tempoh PKPS Duti Setem selama 6 bulan bermula 1 Julai

51729828798_tbLHDN.jpg
LHDN memaklumkan pelanjutan itu bertujuan menggalakkan pematuhan penyeteman secara sukarela di samping memberi ruang kepada pembayar duti yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pelaksanaan STSDS. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem 2026 selama enam bulan bermula 1 Julai hingga 31 Dis depan.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pelanjutan itu bertujuan menggalakkan pematuhan penyeteman secara sukarela di samping memberi ruang kepada pembayar duti yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS).

Menurut kenyataan itu, inisiatif tersebut juga dijangka mengurangkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Setem 1949 dan meningkatkan tahap pematuhan secara berterusan.

“Pembayar duti perlu memastikan proses penyeteman dan pembayaran duti setem disempurnakan dalam tempoh PKPS Duti Setem 2026 yang dilanjutkan.

“Di bawah program itu, semua surat cara yang disempurnakan antara 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2025 layak dikecualikan daripada penalti berdasarkan kuasa diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah Subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949,” menurut kenyataan itu.

Menurut LHDN, penyeteman dan bayaran duti setem pula hendaklah dibuat dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Dis ini, manakala tiada permohonan rayuan penalti perlu dikemukakan kerana akan dikecualikan secara automatik apabila duti setem dibayar.

Badan kerajaan yang bertanggungjwab dalam pengumpulan cukai dan pentadbiran perkara berkaitan cukai itu turut memaklumkan PKPS Duti Setem 2026 tidak terpakai bagi kes yang berunsurkan penipuan.

Selain itu, semua surat cara yang disempurnakan dalam tempoh 1 Jan 2023 hingga 31 Dis 2025 dan disetemkan di bawah PKPS Duti Setem 2026 tidak akan diaudit.

“Bagaimanapun, PKPS Duti Setem 2026 tidak mengecualikan pembayar duti daripada diaudit ke atas surat cara lain yang tidak disetemkan di bawah PKPS Duti Setem 2026,” menurut kenyataan itu.

LHDN menyarankan pembayar duti mengemukakan permohonan penyeteman serta membuat bayaran duti setem lebih awal bagi memastikan notis taksiran dapat dikeluarkan dalam tempoh PKPS dan bayaran duti setem dapat dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Hasil Contact Centre (HCC) melalui talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 (luar negara), HASiL Live Chat atau mengemukakan maklum balas menerusi portal rasmi LHDN.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement