IPOH: Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditikam dalam satu pergaduhan di Kilometer 12, Jalan Trans Perak, di Perak Tengah awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 5.49 pagi.
“Siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun, mengalami kecederaan akibat ditikam semasa pergaduhan dengan seorang lelaki berusia 30 tahun yang telah dikenal pasti.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik tempatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek telah melarikan diri selepas kejadian itu dengan menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira sedan berwarna hitam.
Beliau berkata polis sedang giat mengesan suspek yang alamat terakhir adalah di Kampung Guntur Tengkek, 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan dan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau keberadaan suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat ASP S Murugan di talian 012-6992784 atau Insp Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
-- BERNAMA