YAN: Seorang lelaki cedera dihempap pokok durian dalam kejadian di Jalan Batu Hampar, Kampung Matang Keramat di sini kira-kira jam 10 pagi Jumaat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan, mangsa, 40-an, mengalami patah kaki kanan dan patah tangan kiri akibat kejadian tersebut.
Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada jam 10.07 pagi sebelum mengarahkan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan ke lokasi kejadian.
"Sepasukan bomba bersama enam anggota tiba di lokasi sekitar jam 10.20 pagi bagi menjalankan operasi menyelamat," katanya.
Menurutnya, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Bahari Ahmad melaporkan setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok durian tumbang dan menghempap sebuah rumah.
"Mangsa didapati tersepit di bahagian atas rumah.
"Anggota bomba kemudian menjalankan operasi dan berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 10.30 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 10.46 pagi. -Sinar Harian