KUALA LUMPUR: Pembatalan pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan Azam kekal berkuat kuasa sehingga 2027 dan tidak terikat dengan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
“Pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu terpakai sehingga 2027. Untuk membatalkannya, hanya Yang di-Pertuan Agong yang boleh berbuat demikian.
“Pelantikan itu tidak berkait dengan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Setakat yang saya ingat, tempoh pelantikan itu berakhir pada 2027,” katanya ketika ditemui media di Masjid As-Sodiqin pada Jumaat.
Semalam, media melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan justifikasi pelantikan Azam sebagai Ahli Lembaga Penasihat NFCC.
Susulan itu, NFCC hari ini menjelaskan bahawa bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sememangnya dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat badan berkenaan.
Ketua Pengarah NFCC, Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata dalam satu kenyataan, keanggotaan Azam adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 hingga 19 September 2027.