CHISINAU: Perdana Menteri Moldova, Alexandru Munteanu, mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut pada Jumaat selepas kira-kira lapan bulan menerajui kerajaan negara itu.
Munteanu, 62, mengesahkan keputusan tersebut menerusi hantaran di platform X dengan berkata beliau tidak lagi dapat melaksanakan mandat yang diberikan selaras dengan prinsip dan pegangannya.
“Hari ini, tempoh perkhidmatan saya selaku Perdana Menteri berakhir.
“Sebaik sahaja saya menyedari bahawa saya tidak lagi boleh menjalankan mandat mengikut prinsip dan kepercayaan saya, saya memilih untuk berundur,” katanya.
Today, my term as Prime Minister comes to an end.
I accepted the responsibility of serving as Prime Minister with a deep sense of duty and the firm conviction that I could help bring about positive change.
The moment I realized that I could no longer carry out my mandate in… pic.twitter.com/Oi2GUnHj2n— Alexandru Munteanu (@AlexMunteanuMD) July 3, 2026
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai sebab khusus di sebalik keputusan tersebut.
Peletakan jawatan Munteanu juga menyebabkan keseluruhan kerajaan terbubar secara automatik mengikut kerangka perlembagaan Moldova, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan pentadbiran baharu.
Perkembangan itu memberi cabaran kepada Presiden Maia Sandu dan Parti Tindakan dan Solidariti (PAS), yang sedang meneruskan agenda integrasi Moldova ke dalam Kesatuan Eropah (EU).
Munteanu dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2025 selepas kemenangan PAS dalam pilihan raya parlimen dan sebelum itu berkhidmat selama kira-kira dua dekad di Bank Dunia.
Menurut prosedur perlembagaan Moldova, Sandu kini dijadual mengadakan rundingan dengan kumpulan-kumpulan parlimen sebelum menamakan calon baharu bagi jawatan Perdana Menteri.
Sementara itu, kabinet sedia ada akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.