JOHOR BAHRU: Johor berjaya mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang tahun lalu, dengan 9,000 daripadanya menawarkan gaji premium kepada tenaga kerja tempatan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan negeri dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi serta menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran kepada rakyat Johor.
"Melalui JS-SEZ, kita telah berjaya mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan tahun lepas dan daripada 25,000 peluang pekerjaan, 9,000 menawarkan gaji premium.
"Ini adalah hasil usaha yang baik dan akhirnya yang mendapat manfaat ialah Bangsa Johor," katanya ketika berucap pada program di Tabika KEMAS Bangsa Johor di Larkin Court, di sini, pada Jumaat.
Menurut Onn Hafiz, pembangunan pendidikan dan modal insan terus menjadi keutamaan pentadbiran negeri bagi merealisasikan visi Johor Maju 2030.
Beliau berkata usaha itu turut diperkukuh menerusi Johor Talent Development Council yang berperanan memperkasakan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan industri serta pelabur yang semakin berkembang di negeri berkenaan.
"Untuk kita menjadi sebuah negeri yang maju pada tahun 2030, pendidikan adalah perkara paling mustahak dan paling penting. Ia perlu bermula daripada anak-anak," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM550,000 bagi menaik taraf Tabika KEMAS Bangsa Johor yang disifatkan sebagai model pendidikan awal kanak-kanak berteraskan identiti Bangsa Johor.
Selain itu, empat lagi premis Tabika KEMAS di negeri tersebut turut menerima peruntukan berjumlah RM3.6 juta bagi kerja-kerja naik taraf.
Onn Hafiz turut mengumumkan kerja-kerja naik taraf di kawasan perumahan Larkin Court yang melibatkan peruntukan RM1.4 juta, termasuk kerja mengecat bangunan serta membaiki jalan-jalan yang rosak.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi menaik taraf flat-flat di daerah Johor Bahru secara berperingkat demi meningkatkan keselesaan penduduk.