KUALA LUMPUR: Balai Seni Negara dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menganjurkan Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 dari 27 hingga 29 Nov depan yang bakal menghimpunkan pemain industri seni visual di bawah satu platform.
Balai Seni Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan MAEF 2026 bertemakan "ART KL" yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu mencerminkan komitmennya dalam memperkasa pembangunan industri seni visual melalui penyatuan pelbagai pemain industri, pengukuhan jaringan kerjasama strategik serta pemerkasaan ekonomi kreatif.
"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), MAEF 2026 berperanan sebagai platform strategik dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi kreatif negara melalui pemerkasaan ekosistem seni visual, pembangunan modal insan serta pengembangan pasaran industri seni secara mampan.
"Penganjuran ini merupakan kesinambungan daripada MAEF 2021 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada usaha pemulihan industri seni visual pasca pandemik COVID-19," maklum kenyataan itu.
Menurut Balai Seni Negara, MAEF 2026 memberi penekanan kepada peningkatan daya saing industri, pembangunan pasaran yang lebih berdaya tahan serta peluasan jaringan kerjasama di peringkat domestik dan antarabangsa.
Selain itu, seiring dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) MAEF 2026 turut menyasar memperkukuh kedudukan seni visual sebagai antara tarikan pelancongan budaya negara di samping memperluas promosi seni tempatan kepada masyarakat serta pelawat antarabangsa.
“MAEF 2026 bakal menghimpunkan pelbagai pemegang taruh dalam ekosistem seni visual negara termasuk galeri seni komersial, artis, studio, kolektif seni, persatuan seni visual, muzium dan galeri awam, institusi pengajian tinggi, sekolah seni dan akademi,” menurut kenyataan itu.
Balai Seni Negara memaklumkan, penyertaan pelbagai sektor mewujudkan ekosistem yang lebih bersepadu dalam memperkukuh rantaian nilai industri seni visual negara selain menampilkan gabungan elemen pameran, pendidikan dan ekonomi kreatif.
Ini dapat dicapai melalui penyertaan studio, kolektif dan pengamal seni visual, galeri awam dari seluruh negara, institusi pengajian tinggi awam, badan korporat, sekolah seni, akademi serta kolej yang menawarkan program seni visual.
“Penyertaan galeri seni kontemporari yang menampilkan karya melalui proses kuratorial bagi pasaran tempatan dan serantau bukan sahaja menyediakan platform pameran kepada artis di bawah naungan masing-masing, malah menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi kreatif sepanjang penganjuran MAEF 2026.
"Selain pameran seni, Ruang Wacana akan mengetengahkan perbincangan berkaitan H.T.C.S. (History, Theory, Criticism, Studio) dalam konteks seni visual dengan penyertaan akademik, pengkaji, sejarawan, kurator, penulis serta artis dari dalam dan luar negara,” maklum kenyataan itu.
Menurut Balai Seni Negara, MAEF 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri seni visual negara melalui pengukuhan ekosistem yang lebih mampan, peningkatan aktiviti ekonomi kreatif serta peluasan peluang pasaran kepada penggiat industri.
"Penganjuran ini diharap dapat memperkukuh kedudukan seni visual sebagai sektor strategik negara yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pelancongan budaya serta kesejahteraan masyarakat,” maklum kenyataan itu.
Bagi maklumat lanjut mengenai pameran itu orang ramai boleh melayari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau media sosial rasmi Balai Seni Negara.
-- BERNAMA