Skip to main content

Malaysia

Lebih 60 peratus veteran ATM pilih bidang keusahawanan selepas bersara - Adly

LUMUT, 7 April -- Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berucap ketika merasmikan Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lautan Kasih Pangkalan TLDM di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Adly berkata veteran ATM memiliki pelbagai kelebihan hasil latihan yang diterima sepanjang perkhidmatan termasuk disiplin tinggi, komitmen terhadap tugas dan keupayaan bekerja dalam persekitaran yang mencabar. - Gambar fail/Bernama

MELAKA: Kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada 26,000 veteran angkatan tentera (ATM) di negara ini memilih bidang keusahawanan berbanding pekerjaan bermajikan selepas menamatkan perkhidmatan sejak lima tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari. 

Beliau berkata ini secara tidak langsung mengubah persepsi masyarakat malah dalam kalangan veteran itu bahawa mereka hanya sesuai menceburi pekerjaan tertentu seperti pengawal keselamatan sedangkan mereka mempunyai pelbagai kemahiran dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan. 

"Bagaimanapun kerajaan melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) turut berusaha memperluaskan peluang pekerjaan kepada veteran khususnya dalam sektor bermajikan yang memerlukan kemahiran khusus dan menawarkan pendapatan lebih baik. 

"Ini termasuklah menggalakkan mereka yang rata-ratanya keluar daripada perkhidmatan pada usia sekitar 40-an menyertai bidang berteknologi tinggi serta industri pertahanan negara yang mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan oleh golongan veteran ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) Master Class peringkat negeri Melaka di Banda Hilir, di sini, malam tadi. 

Adly berkata veteran ATM memiliki pelbagai kelebihan hasil latihan yang diterima sepanjang perkhidmatan termasuk disiplin tinggi, komitmen terhadap tugas dan keupayaan bekerja dalam persekitaran yang mencabar.

Katanya, setakat Mei lepas, lebih 195 agensi awam serta syarikat swasta telah berjaya menempatkan 631 veteran dalam sektor aeroangkasa, automatif, logistik dan perkhidmatan dengan skala gaji RM2,500 hingga RM5,000. 

Sementara 2,318 veteran pula telah berdaftar di bawah program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira hasil kerjasama PERHEBAT dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pembangunan profil dan resume untuk padanan pekerjaan dengan majikan di seluruh negara.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan sedang dalam proses memastikan kemahiran dan kepakaran veteran dapat diiktiraf melalui sistem pensijilan yang setara dengan kelayakan sijil, diploma serta peringkat lebih tinggi. 

"Langkah ini penting bagi membolehkan kepakaran yang diperoleh sepanjang perkhidmatan disusun dan dimanfaatkan secara lebih sistematik oleh agensi kerajaan mahupun swasta. 

"Bukan itu sahaja, keupayaan veteran ini amat sesuai digunakan terutama dalam sektor penguatkuasaan seperti pengawalan sempadan negara kerana mereka telah mempunyai pengalaman operasi, latihan dan khidmat yang boleh disesuaikan, sekali gus dapat mengurangkan keperluan latihan baharu," katanya. 

Terdahulu pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan PERHEBAT memeterai Memorandum Persefahaman dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC), Ayer Keroh Country Club Sdn Bhd dan Westreet Resources SDN Bhd.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement