SHAH ALAM: Lebih 20 agensi penguat kuasa dan tindak balas kecemasan hari ini berganding bahu dalam latihan amal bencana udara berskala penuh Ex Urban Falcon 2026 bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta koordinasi operasi sekiranya berlaku nahas pesawat di luar perimeter lapangan terbang.
Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Muhammad Hidayat Ismail berkata latihan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) itu melibatkan simulasi sebuah pesawat ATR72 yang “terhempas” kira-kira enam kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
"Objektif kita untuk memastikan tahap kesiapsiagaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan agensi tindak balas lain dalam pelan kecemasan aerodrom terutama yang melibatkan nahas pesawat di luar kawasan lapangan terbang.
"Berdasarkan National Aeronautical Search and Rescue Manual (NAMSA), kawasan tanggungjawab AFRS adalah dari titik tengah lapangan terbang hingga lingkungan 8 km dari premis tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Muhammad Hidayat berkata simulasi itu merupakan yang pertama dilakukan dengan senario jauh dari perimeter lapangan terbang berbanding latihan sebelum ini yang hanya dilakukan di kawasan bersebelahan pagar lapangan terbang.
Beliau berkata cabaran utama bagi pasukan tindak balas adalah untuk sampai ke lokasi kejadian dengan pantas walaupun terpaksa merentasi jalan raya sempit serta melalui beberapa plaza tol.
"Apa yang saya lihat dari sudut penglibatan agensi tindak balas, saya dapati mereka telah bertindak mengikut prosedur yang sedia ada serta proses memadam kebakaran dan penyelamatan dilaksanakan dengan baik.
"Saya berharap agar latihan ini akan memberi satu titik permulaan kepada tahap kesiapsiagaan agensi kerana bencana udara ini jarang sekali kita uji di kawasan luar lapangan terbang," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perbezaan ketara antara nahas di dalam dan luar lapangan terbang adalah kadar kemandirian mangsa yang lebih rendah akibat bentuk muka bumi yang tidak rata.
Justeru, Muhammad Hidayat berkata latihan itu mendedahkan pasukan penyelamat kepada realiti sebenar, iaitu jumlah mayat mungkin lebih tinggi berbanding mangsa yang terselamat, sekali gus menuntut koordinasi lebih baik bagi prosedur Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Secara teknologi, kita mengguna pakai peralatan terkini iaitu jentera kita khusus untuk memadam kebakaran pesawat dan spesifikasinya mematuhi kehendak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
"Dapatan serta cabaran yang ditemui pada hari ini akan dibentangkan dalam sebuah bengkel khas pada 26 dan 27 Julai ini untuk mencari langkah penambahbaikan bagi memastikan sebarang bencana dapat ditangani secara bersepadu," katanya.
Sehubungan dengan itu, Muhammad Hidayat berkata komitmen berterusan daripada semua agensi yang terlibat membuktikan kesediaan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman bencana udara, sekali gus meningkatkan keyakinan orang awam terhadap sistem pengurusan keselamatan penerbangan di Malaysia.
Latih amal Ex Urban Falcon 2026 dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara MAHB, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kerajaan Negeri Selangor dan PROLINTAS-DASH, membabitkan 450 peserta daripada agensi awam dan swasta yang kritikal kepada operasi penyelamatan bencana udara.
-- BERNAMA