Skip to main content

Malaysia

MCMC wajibkan pemberi perkhidmatan sekat kandungan memudaratkan dalam tempoh 24 jam

logo MCMC
Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan terhadap kandungan memudaratkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, termasuk menyekat akses kandungan berkeutamaan tinggi dalam tempoh 24 jam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan terhadap kandungan memudaratkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, termasuk menyekat akses kandungan berkeutamaan tinggi dalam tempoh 24 jam.

Langkah tegas itu dikuatkuasakan melalui Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tempoh) 2025 di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), bertujuan mengekang penularan kandungan palsu dan maklumat palsu dan maklumat salah pada peringkat awal.

“Bagi kandungan berkeutamaan tinggi seperti penipuan kewangan, kandungan tersebut hendaklah dijadikan tidak boleh diakses dalam tempoh 24 jam bagi membolehkan penilaian, pengesahan dan tindakan lanjut dilaksanakan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) di Dewan Rakyat berhubung mekanisme mengawal penyebaran berita palsu, maklumat palsu dan maklumat salah terutama dalam tempoh kritikal kurang 24 jam sebelum penularan secara meluas.

Menurut kementerian itu, bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 31 Mei 2026, MCMC telah mengemukakan sebanyak 63,215 permohonan penurunan kandungan palsu kepada pemberi perkhidmatan, dengan 54,626 kandungan atau 86 peratus berjaya diturunkan.

Selain penguatkuasaan Akta 866 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, MCMC turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui pelancaran Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) pada 28 Jan 2025 bagi mempermudah orang ramai menyemak kesahihan maklumat dengan lebih cepat dan mudah.

Sehingga 31 Mei lepas, AIFA yang menyokong portal Sebenarnya.my telah memproses sebanyak 197,403 mesej dengan purata 404 mesej sehari, manakala sebanyak 1,016 artikel semakan fakta telah diterbitkan bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 31 Mei 2026.

Dalam aspek pencegahan dan pemerkasaan literasi digital, Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta 1,938 program kepada masyarakat umum melibatkan 2,136,941 peserta di seluruh negara sehingga 15 Jun lepas.

“Melalui pendekatan yang menggabungkan penguatkuasaan undang-undang, kerjasama strategik dengan penyedia platform, pemanfaatan teknologi serta pemerkasaan literasi digital, kerajaan komited memastikan penyebaran berita palsu, maklumat palsu dan maklumat salah dapat dibendung secara lebih berkesan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan ekosistem digital negara,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement