KUALA LUMPUR: Saingan Liga Super 2026-2027 kekal membabitkan 12 pasukan selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan Kelantan Red Warrior (KRW) dinaikkan ke Liga Super susulan penarikan diri PDRM FC.
MFL dalam kenyataan memaklumkan KRW, yang menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim lalu di tangga keempat, telah melengkapkan semua dokumen berkaitan kriteria kewangan bagi membolehkan kelab itu beraksi dalam Liga Super.
"Kelab yang berpangkalan di Kota Bharu itu dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC yang menduduki tempat keenam Liga A1 dan Bunga Raya FC di tangga ke-12, yang turut mengemukakan permohonan selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada First Instance Body (FIB).
"Bagaimanapun, satu lagi kelab Liga A1, Armed Forces FC, tidak mengemukakan permohonan untuk bertanding dalam Liga Super 2026-2027," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, MFL mengesahkan pihaknya menerima surat rasmi penarikan diri PDRM semalam.
Menurut badan pengelola liga tempatan itu, keputusan PDRM menarik diri dibuat bagi memberi tumpuan kepada proses penstrukturan semula pengurusan kelab.
Kehadiran KRW melengkapkan senarai 12 pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super 2026-2027, yang dijadual membuka tirai pada 21 Ogos ini.
Selain KRW, 11 lagi pasukan yang akan beraksi ialah juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.
-- BERNAMA