SHANGHAI: Presiden China Xi Jinping menegaskan kepentingan menaik taraf kemudahan perbandaran yang usang dalam usaha memacu pemodenan bandar selain mengamalkan konsep pembangunan bandar yang berpaksikan rakyat.
Beliau berkata pelaksanaan pelbagai projek penaiktarafan perlu diperkemas bagi menangani keperluan dan keluhan rakyat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk melalui pembangunan bandar yang lebih selamat dan kondusif.
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Xi semasa melakukan tinjauan mesra di sini pada Rabu.
Pada sebelah petang, beliau memulakan lawatan di kawasan perumahan yang dikenali sebagai Shimin Xincun di Jalan Bansongyuan, Daerah Huangpu.
Empat blok pangsapuri di Shimin Xincun yang dibina pada 1950-an telah dinaik taraf dengan penambahan dapur dan bilik air berasingan serta pemasangan lif awam, menjadikan kawasan perumahan itu lebih selesa dan sesuai didiami berbanding sebelum ini.
Ketika mengunjungi beberapa gerai yang menjual buah-buahan dan sayur-sayuran, Xi menekankan kepentingan memperkukuh tadbir urus di peringkat akar umbi dengan memanfaatkan pelbagai sumber, perkhidmatan dan pengalaman pengurusan bandar, selain memperhalusi pelaksanaan program pembangunan komuniti dan blok mesra rakyat.
Dalam lawatan itu, Xi turut mengingatkan bahawa China kini memasuki tempoh kritikal bagi pencegahan dan kawalan banjir.
"Pelbagai pihak berkaitan diseru bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya bencana buruk dan situasi melampau. Pemantauan terhadap taburan hujan, keadaan banjir dan perkembangan taufan perlu dilakukan secara berhati-hati.
“Pemeriksaan menyeluruh dan teliti bagi mengenal pasti risiko berpotensi juga mesti dijalankan. Berusahalah dengan gigih dalam melaksanakan kerja-kerja mitigasi bencana, operasi kecemasan, bantuan bencana serta usaha menyelamat demi meningkatkan keberkesanan dalam melindungi keselamatan nyawa dan harta benda rakyat,” kata Xi.
-- BERNAMA-CMG