Skip to main content

Malaysia

Laporan palsu hilang dompet, pereka grafik kekal didenda RM600

51744102561_CourtMahkamah.jpg
Hakim berkata kesalahan yang dilakukan responden adalah berat selain membuang masa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap laporan yang tidak benar. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman denda RM600 terhadap seorang pereka grafik, kerana memberi maklumat palsu kepada pegawai polis, bulan lepas.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas menyemak keputusan Mahkamah Majistret di sini yang menjatuhkan hukuman denda RM600 terhadap Muhammad Aidil Amin Mohamad Jamil, 27, selaku responden.

“Mahkamah mengekalkan hukuman yang diputuskan Mahkamah Majistret, namun memberi amaran keras supaya tidak mengulangi kesalahan ini lagi,” kata Hakim Aslam.

Aslam berkata kesalahan yang dilakukan responden adalah berat selain membuang masa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap laporan yang tidak benar, sedangkan pihak polis boleh menumpukan kepada kes yang lebih penting.

Pada 5 Mei lepas, Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman denda RM600, selepas Muhammad Aidil Amin mengaku bersalah memberi maklumat bertulis palsu kepada pegawai penyiasat yang merupakan penjawat awam, di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 10.10 malam, 2 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan Muhammad Aidil Amin dipenjara 14 hari jika gagal membayar denda, namun dia menjelaskan denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum berkata hukuman yang dikenakan terhadap responden adalah tidak memadai, kerana dia telah membuat laporan polis bahawa beg dompet yang mengandungi kad pengenalan serta kad bank miliknya secara tiba-tiba dirampas dan dilarikan oleh seseorang yang tidak dikenali.

“Kesalahan ini serius dan membuang masa serta tenaga pihak polis. Sekiranya laporan tersebut disiasat dan berlakunya tangkapan, ia akan menzalimi pihak lain yang tidak bersalah. 

“Oleh itu, saya mohon satu hukuman yang boleh menyampaikan mesej kepada masyarakat di luar agar tidak membuat laporan palsu dan supaya masyarakat tahu mahkamah memandang serius terhadap kesalahan ini,” katanya.

Peguam K.A Ramu yang mewakili responden berkata anak guamnya membuat laporan palsu bagi mengelak didenda, apabila membuat kad pengenalan baharu.

“Anak guam telah menghadiri satu majlis di Bukit Bintang dan beg dompetnya telah hilang. Dia yang masih muda telah dipengaruhi rakannya untuk membuat laporan sedemikian. Oleh itu, saya mohon anak guam hanya dikenakan hukuman denda bukan penjara kerana dia menjaga ayahnya yang kurang upaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement