Skip to main content

Politik

Anwar sebagai PM bukti PKR mampu kekal relevan, kata Loh Ker Chean

[TB]_Loh Ker Chean_FB Loh Ker Chean
Loh Ker Chean (foto) berkata PKR telah melahirkan ramai tokoh dan pemimpin sejak berada di blok pembangkang, manakala usaha membangunkan barisan kepimpinan baharu terus diperkukuhkan selepas parti itu membentuk kerajaan. -Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara sebagai Perdana Menteri selama hampir empat tahun membuktikan PKR mampu kekal sebagai sebuah parti politik yang relevan dan berpengaruh untuk jangka panjang.

Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean, berkata tanggapan bahawa parti itu akan lenyap selepas era kepimpinan Anwar adalah tidak berasas, terutama selepas Presiden PKR itu berjaya membawa parti berkenaan menerajui kerajaan menerusi pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Saya tolak tanggapan yang mengatakan PKR akan hilang selepas era Anwar, terutama sekali selepas Anwar membawa PKR untuk menjadi PM ke-10.

"PKR pernah menjadi pembangkang yang berkesan dan kuat. Hari ini pula menjadi kerajaan yang kuat dengan Anwar selaku Presiden PKR dan Perdana Menteri.

"Saya yakin PKR akan kekal sebagai institusi politik untuk tempoh yang lama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ker Chean berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa PKR akan terkubur selepas berakhirnya era kepimpinan Anwar.

Mengulas lanjut, katanya PKR telah melahirkan ramai tokoh dan pemimpin sejak berada di blok pembangkang, manakala usaha membangunkan barisan kepimpinan baharu terus diperkukuhkan selepas parti itu membentuk kerajaan.

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan pengkhianatan, PKR tetap mampu kekal relevan kerana perjuangan parti ini membawa visi serta harapan rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang," ujarnya lagi.

Pada 8 Jun lalu, Rafizi dilaporkan berkata PKR berdepan risiko besar untuk 'lenyap' selepas era kepimpinan Anwar jika masih mengekalkan struktur birokratik lama dan gagal melaksanakan pembaharuan yang diperlukan.

Bercakap kepada pemberita selepas siri kedua program Jelajah Kancil di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, Melaka, bekas Timbalan Presiden PKR itu mendakwa fokus parti berkenaan ketika ini dilihat terlalu tertumpu kepada kelangsungan politik Anwar semata-mata.

 

Must Watch Video

Advertisement