MELAKA: Laluan penerbangan terus Pekanbaru-Melaka-Pekanbaru yang mula beroperasi hari ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Indonesia menerusi peningkatan ketibaan pelawat dari kedua-dua negara.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad berkata sebanyak 515,086 ketibaan pelancong Indonesia direkodkan ke negeri itu tahun lepas, dengan sasaran peningkatan hingga 30 peratus tahun ini.
"Laluan penerbangan baharu ini dijangka memperkukuh hubungan antara Melaka dan Pekanbaru, sekali gus membuka peluang kerjasama lebih luas dalam sektor pelancongan.
“Melaka mempunyai pelbagai produk dan destinasi pelancongan yang berpotensi menarik lebih ramai pelawat dari Indonesia, termasuk pelancong yang berkunjung untuk tujuan percutian, membeli-belah dan mendapatkan perkhidmatan lain termasuk rawatan kesihatan,” katanya di sini hari ini.
Nasrul berkata demikian selepas Majlis Sambutan Penerbangan Wings Air Pekanbaru ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam.
Beliau berkata penerbangan sulung yang dikendalikan oleh Wings Air itu membawa hampir 50 penumpang dan akan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad.
Nasrul berkata laluan udara itu memudahkan kemasukan pelancong Indonesia ke Melaka serta memberi pilihan perjalanan terus kepada rakyat negeri ini ke Pekanbaru.
“Jika sebelum ini ramai menggunakan pengangkutan laut, kini mereka mempunyai pilihan penerbangan terus yang lebih mudah dan cepat,” katanya.
Beliau berkata pihaknya berharap laluan penerbangan itu dapat membantu meningkatkan lagi jumlah pelancong Indonesia ke Melaka pada masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Kota Pekanbaru Akmal Khairi berkata penerbangan terus yang sekian lama dinantikan masyarakat Pekanbaru itu akan memudahkan perjalanan ke Melaka serta memberi manfaat kepada penduduk di kedua-dua destinasi.
Beliau berkata masyarakat Pekanbaru menjadikan Melaka antara destinasi pilihan untuk bercuti dan membeli-belah kerana kedudukannya yang dekat serta mudah diakses.
Akmal juga berharap lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya dari Melaka berkunjung ke Pekanbaru yang menawarkan pelbagai tarikan pelancongan, sekali gus memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak.
-- BERNAMA