Skip to main content

Dunia

Warga Israel ditahan guna proksi miliki tanah di pulau pelancongan Thailand

61760270029_KohPhangan.jpg
Operasi khas yang dilancarkan sejak pertengahan Mei bagi membanteras penggunaan proksi di Koh Phangan menyaksikan 45 waran tangkap dikeluarkan, dengan 27 suspek termasuk warga asing telah ditahan setakat ini. -Gambar fail

SURAT THANI: Pihak berkuasa Thailand menahan seorang warga Israel di Lapangan Terbang Samui hari ini atas tuduhan menggunakan proksi warga tempatan secara haram untuk memiliki tanah di pulau pelancongan Koh Phangan.

Menurut laporan Khaosod English, suspek berusia 30 tahun itu ditahan pegawai Polis Imigresen Surat Thani dengan kerjasama polis Koh Phangan sejurus tiba di lapangan terbang kira-kira jam 10.30 pagi.

Penahanan dibuat berdasarkan waran yang dikeluarkan Mahkamah Wilayah Samui pada 21 Mei lalu atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada pejabat tanah bagi mendapatkan kawalan ke atas hartanah melalui syarikat Alisa Paradise Co Ltd.

Siasatan awal mendapati suspek telah meninggalkan Thailand sebelum pihak berkuasa menyerbu premis miliknya.

Semasa disoal siasat, suspek dipercayai mengupah firma perakaunan untuk mendaftarkan syarikat menggunakan warga Thailand sebagai pemegang saham proksi bagi tujuan membina kediaman percutian.

Operasi khas yang dilancarkan sejak pertengahan Mei bagi membanteras penggunaan proksi di Koh Phangan menyaksikan 45 waran tangkap dikeluarkan, dengan 27 suspek termasuk warga asing telah ditahan setakat ini.

Baki 18 individu masih dikesan pihak berkuasa.

Langkah penguatkuasaan ini dipergiat oleh Polis Diraja Thailand bagi mengekang aktiviti pelaburan asing yang melanggar undang-undang pemilikan tanah di bawah Akta Perniagaan Asing Thailand.

 

Must Watch Video

Advertisement