KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa Iran mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan rundingan yang dijangka akan menguntungkan Republik Islam itu.
Trump melalui hantaran di akaun Truth Social pada hari ini turut menegaskan negara itu kini terpaksa menanggung akibatnya.
“Mereka mengambil masa terlalu lama untuk berunding bagi mencapai satu perjanjian yang sebenarnya amat menguntungkan mereka. Kini mereka terpaksa terima padahnya” katanya.
Namun Trump tidak menyatakan tindakan selanjutnya yang akan digerakkan oleh pihak tentera AS.
Pada masa sama, Trump turut mendakwa infrastruktur ketenteraan Iran melibatkan laut dan udara telah dimusnahkan sepenuhnya oleh pihak tentera AS.
Hantaran tersebut turut memaparkan kritikan Trump terhadap Iran, yang disifatkannya sebagai pembuli di rantau Asia Barat.
“Tentera Iran kini berada dalam keadaan yang porak-peranda… mereka telah ditewaskan sepenuhnya,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menerusi hantaran di X menegaskan walaupun AS telah mengalami kekalahan di medan pertempuran namun tetap menguji keteguhan pendirian Republik Islam.
“Angkatan bersenjata kami yang berkuasa tidak akan membiarkan sebarang serangan atau ancaman tanpa balasan,” kata Araghchi.
Pada masa sama beliau turut menggesa agar AS meninggalkan rantau Asia Barat jika inginkan jaminan keselamatan sambil menyatakan Teluk Parsi telah menyaksikan nasib buruk yang menimpa pihak luar yang mencampuri urusan rantau ini.