Skip to main content

Malaysia

Kebakaran Gok Kapur: JPV rawat kucing cedera, salur bantuan makanan haiwan

kebakaran gok kapur - Sinar Harian
Pasukan veterinar turut menjalankan pemeriksaan terhadap haiwan yang berjaya diselamatkan daripada kebakaran yang memusnahkan 27 rumah di kawasan berkenaan. - Gambar/ Sinar Harian

KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan merawat 10 ekor kucing yang cedera akibat kebakaran di Kampung Gok Kapur serta menyalurkan bantuan makanan kepada haiwan peliharaan dan ternakan milik mangsa tragedi itu.

Pengarah JPV Kelantan Dr Yahasmida Yaacob berkata 10 anggota jabatan itu telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan haiwan peliharaan penduduk yang memerlukan bantuan dan rawatan.

Beliau berkata pasukan veterinar turut menjalankan pemeriksaan terhadap haiwan yang berjaya diselamatkan daripada kebakaran yang memusnahkan 27 rumah di kawasan berkenaan.

“Setakat hari ini, kita telah merawat 10 ekor kucing yang terkesan dalam kebakaran ini termasuk yang melecur dan luka ringan akibat terkena percikan api serta haba tinggi. Selain itu, terdapat dua ekor kucing mati dalam kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Dr Yahasmida berkata selain memberikan rawatan segera di lokasi, pihaknya turut menyalurkan bekalan makanan kepada pemilik haiwan peliharaan dan ternakan yang terjejas akibat kebakaran tersebut.

Beliau berkata bantuan itu bagi memastikan kebajikan haiwan berkenaan terpelihara dan terus mendapat bekalan makanan ketika pemilik haiwan masih berdepan kesukaran susulan kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

“JPV Kelantan juga bersedia memberikan rawatan susulan kepada haiwan yang memerlukan pemantauan lanjut selepas ini.

“Penduduk hanya perlu menghubungi pejabat veterinar terdekat untuk mendapatkan khidmat rawatan susulan sekiranya haiwan peliharaan mereka memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Tuan Wahida Amani Tuan Khairul Anuar, 33, berkata beliau sempat menyelamatkan empat ekor kucing yang berkeliaran di kawasan penempatan berkenaan ketika kebakaran berlaku.

Tuan Wahida Amani berkata tiga daripada haiwan itu mengalami kecederaan akibat kebakaran, termasuk kesan lecur pada tapak kaki, hidung dan bahagian kepala.

“Syukur, hari ini pihak JPV Kelantan turut hadir ke lokasi kejadian dan membantu memberikan rawatan kepada kucing yang berjaya diselamatkan,” katanya.

Pada Isnin lepas, 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur dan pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih menyiasat punca kejadian.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement