MOSCOW: Seorang pegawai kanan tentera Rusia maut selepas kenderaan yang dinaikinya musnah dalam satu letupan bom kereta di kawasan perumahan di pinggir Moscow, pada Selasa.
Menurut laporan media antarabangsa, mangsa dikenal pasti sebagai Kolonel Damir Davydov, Ketua Direktorat Utama Peluru Berpandu dan Artileri (GRAU) di bawah Kementerian Pertahanan Rusia.
Direktorat tersebut memainkan peranan penting dalam pengurusan rantaian bekalan peluru dan persenjataan kepada pasukan di barisan hadapan.
Insiden dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 pagi waktu tempatan apabila peranti bahan letupan buatan sendiri (IED) meletup di bawah tempat duduk pemandu ketika kenderaan SUV yang dinaiki mangsa sedang bergerak keluar dari kawasan parkir.
Letupan itu dianggarkan bersamaan 300 hingga 400 gram TNT.
Saksi memaklumkan mangsa masih bernyawa sejurus selepas kejadian, namun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Letupan berlaku di Jalan Koldunova, daerah Aviatorov di Balashikha, kira-kira 20 kilometer dari Moscow, yang merupakan kawasan perumahan khas anggota dan pegawai keselamatan.
Kawasan tersebut sebelum ini turut menyaksikan kejadian serupa apabila seorang pegawai kanan tentera terbunuh dalam serangan bom kereta pada April tahun lalu.
Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Rusia kini membuka siasatan kes pembunuhan, namun setakat ini tiada suspek dikenal pasti dan motif serangan masih belum diumumkan.