HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong hari ini secara rasmi mendakwa kontraktor utama serta firma perunding projek berhubung kebakaran sebuah pangsapuri kediaman yang mengorbankan 168 nyawa pada November tahun lalu.
Secara keseluruhan, tujuh individu dan dua syarikat berdepan 25 pertuduhan jenayah termasuk bunuh tanpa niat, konspirasi untuk menipu, pengubahan wang haram, cubaan menghalang keadilan, serta pengelakan cukai.
Individu yang didakwa terdiri daripada pengarah dan pemeriksa syarikat perunding serta pengarah firma kontraktor yang terlibat dalam projek pengubahsuaian di kompleks perumahan awam tersebut.
Tragedi pada 26 November 2025 di Wang Fuk Court, daerah Tai Po itu merupakan antara kebakaran kediaman paling serius dalam tempoh beberapa dekad.
Kejadian berkenaan memusnahkan tujuh daripada lapan blok menara pangsapuri dalam kompleks tersebut.
Siasatan oleh pasukan petugas Polis Hong Kong dan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) mendapati kegagalan sistem keselamatan kebakaran berpunca daripada kecuaian manusia.
Sesi pendengaran turut mendedahkan sistem penggera kebakaran bagi tujuh blok telah dinyahaktifkan sebelum kejadian, sekali gus menjejaskan peluang penghuni untuk menyelamatkan diri.
Selain itu, penggunaan bahan binaan mudah terbakar seperti jaring keselamatan gred rendah dan papan buih polistirena dikenal pasti mempercepatkan penyebaran api.
Siasatan forensik bomba merumuskan kebakaran dipercayai bermula daripada puntung rokok yang menyala di kawasan pengubahsuaian sebelum api merebak dengan pantas.
Kesemua tertuduh dijadualkan hadir di mahkamah tempatan pada Rabu bagi menghadapi pertuduhan.