Skip to main content

Politik

Tiada pertindihan kerusi BN dalam PRN Johor, Negeri Sembilan

Kuala Lumpur , 10 Jun 2026. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyampaikan ucapan berikutan Syarahan Umum Profesor Li Cheng: "China-Us Relations And Impact To Malaysia"  Di Dewan Za’ba di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Datuk Seri Zambry Abd Kadir berucap ketika majlis Syarahan Umum Profesor Li Cheng: “China-US Relations and Impact to Malaysia” di Putrajaya pada Rabu. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) tidak menjangka berdepan sebarang isu pertindihan kerusi dalam kalangan parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata, proses agihan kerusi setakat ini berjalan lancar dengan perbincangan awal antara parti komponen telah pun diadakan.

Menurut beliau, fokus ketika ini lebih tertumpu kepada penyelarasan dalaman BN sebelum dimuktamadkan menerusi perbincangan dan persetujuan bersama.

“Pada dasarnya kita tidak mendapati sebarang masalah untuk proses agihan itu dilakukan kerana perbincangan awal telah pun diadakan.

“Di peringkat ini kita perlu memperkukuhkan lagi dari segi calon dan pembahagian kerusi kepada komponen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Syarahan Umum Profesor Li Cheng: “China-US Relations and Impact to Malaysia” di Putrajaya pada Rabu.

Jelasnya, walaupun pada peringkat awal terdapat permintaan daripada parti atau calon tertentu terhadap sesuatu kerusi, keputusan akhir tetap dibuat secara bersama demi kepentingan gabungan.

“Kita tidak akan ada pertindihan. Dari segi amalan kami di peringkat Barisan Nasional, walaupun di peringkat awal mungkin ada calon ini mahu tempat itu, calon itu mahu tempat ini... tetapi akhirnya itulah semangat Barisan Nasional.

"Akhirnya akan duduk bersama, kami membuat keputusan bersama meletakkan calon-calon itu pada kerusi-kerusi yang dipersetujui bersama,” katanya.

Mengulas pemilihan calon, Zambry berkata tanggungjawab mengenal pasti calon berpotensi akan diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan BN negeri masing-masing sebelum dibawa ke peringkat Dewan Tertinggi BN untuk kelulusan.

Tambahnya, amalan musyawarah yang menjadi teras BN selama ini membolehkan sebarang perbezaan pandangan mengenai kerusi diselesaikan secara konsensus.

Beliau berkata, kepimpinan negeri lebih memahami keperluan dan sentimen setempat, sekali gus membolehkan calon yang sesuai diketengahkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor dan Negeri Sembilan Jumaat ini, bagi membincangkan segala urusan berkaitan PRN.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi Jumaat lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya berkenaan.

Manakala DUN Johor yang memiliki 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lalu.

Must Watch Video

Advertisement